COD loji janakuasa itu pada asalnya dijadualkan pada 15 Jun 2019 tetapi ia kini telah ditangguhkan kerana beberapa kecacatan dikesan pada turbin tekanan tinggi semasa fasa commissioning projek.

Malaysian Rating Corporation (MARC) dimaklumkan bahawa kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan dan JEP dijangka mencapai COD dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Katanya, dalam situasi ini, MARC berpendapat, tiada tindakan penarafan memandang­kan aliran tunai yang diunjurkan berupaya menyokong keupayaan pembayaran hutang sehingga tiga bulan.

“JEP telah membangunkan loji kuasa di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) 25 tahun dengan TNB. Setelah selesai pembinaan, JEP akan me­ngendalikan loji janakuasa.

“MARC mengesahkan penarafan AA-IS/Stabil terhadap Sukuk Murabahah JEP RM8.98 bilion pada 6 Mac 2019, hasilnya telah digunakan untuk membia­yai pembinaan loji janakuasa,” katanya di sini hari ini.

Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memiliki 70 peratus kepen­tingan dalam JEP sementara Mitsui & Co. Ltd. dan The Chugoku Electric Power Co. Ltd. masing-masing 15 peratus.

MARC berkata, TNB memiliki kekuatan kredit sebagai penaja projek utama yang mempunyai kepentingan strategik dan kewangan besar dalam projek itu dengan pegangan 70 peratus.

Jelasnya, JEP dijangka pulih daripada kerugian berhubung dengan kelewatan menerusi tuntutan ganti rugi tertentu oleh konsortium kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC).

“Konsortium EPC merangkumi IHI Corporation dan Toshiba Corporation (Jepun), Hyundai Engineering & Construction Co. Limited dan Hyundai Engineering Co. Limited (Korea Selatan) serta Ishi Power Sdn. Bhd. dan TOS Energy Malaysia Sdn. Bhd.

“Agensi penarafan akan memantau kemajuan JEP dan mengambil tindakan penilaian bersesuaian jika kerja-kerja pembetulan tidak diteruskan seperti dirancang dan boleh membawa kepada kelewatan COD,” katanya.