Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat itu “secara sebulat suara mendapati tawaran itu adil dan berpatutan” kata Litrak dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada bulan lepas, pihak Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah membuat tawaran untuk membeli anak syarikat milik penuh Litrak, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (konsesi LDP) pada harga RM2.47 bilion dan 50 peratus kepentingan Sprint Holdings pada RM1.98 bilion.

Kedua-dua tawaran ini adalah saling bersyarat dan bersyarat dalam tawaran bagi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart).

Gamuda Bhd. dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. sebelum ini telah menyatakan minat untuk menerima tawaran MKD terhadap kepentingan ekuiti masing-masing sebanyak 30 peratus dan 20 peratus dalam Sprint Holdings.

Malah, Gamuda juga menerima tawaran membabitkan pengambilalihan Kesas dan Smart.

Dalam kenyataan kepada Bursa hari ini, Litrak berkata ia dan Sprint Holdings dijangka memulakan rundingan dengan MKD bagi memperincikan terma dan syarat perjanjian bagi cadangan pembelian lebuh raya bertol itu serta memuktamadkan perjanjian dengan sebuah syarikat tujuan khas dimiliki MKD menjelang 30 Ogos ini.

Ini bagaimanapun tertakluk kepada penerimaan tawaran Kesas dan Smart, pematuhan wajar yang didapati oleh MKD serta kelulusan Kabinet, kata syarikat itu.- BERNAMA