MOHAMAD NASIR
MOHAMAD NASIR 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, suku ketiga 2018 me­nyaksikan KWSP menempuhi persekitaran pasaran yang tidak menentu didorong oleh ke­tegangan perdagangan antara kedua-dua negara ekonomi besar berkenaan.

Namun, katanya, KWSP tetap berupaya mencatat peningkatan pendapatan hasil daripada pemulihan pasaran ekuiti Malaysia dan ASEAN dalam suku ketiga 2018 berbanding kemerosotan yang dialami sepanjang suku tahun sebelumnya, manakala ekuiti pasaran maju terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding suku tahun sebe­lumnya.

“Ketidaktentuan semakin te­rasa di rantau ini dan menyebabkan kejatuhan dalam harga pasaran ekuiti serantau pada suku keempat 2018. Ini pastinya akan memberi cabaran besar kepada KWSP untuk mengekalkan momentum pendapatan yang sama untuk suku tahun keempat,

“KWSP berbesar hati di atas sokongan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap program kepelbagaian jangka panjang kumpulan dalam usaha memastikan KWSP kekal berada di atas landasan untuk mencapai sasaran strategiknya, iaitu sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal dan dua peratus dividen sebenar untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan seba­nyak RM14.61 bilion bagi suku tahun ketiga berakhir 30 September 2018, peningkatan 12.82 peratus daripada RM12.95 bilion untuk tempoh sama pada tahun lalu.

Mohamad Nasir berkata, ekuiti, yang merangkumi 40.67 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP terus menjadi penjana pendapatan utama dengan menyumbang RM8.89 bilion, atau 60.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan untuk suku tahun tersebut.

Katanya, pendapatan dividen telah meningkatkan prestasi portfolio ekuiti domestik pada suku tahun yang sama.

“Sebanyak 50.72 peratus da­ripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus menjana pendapatan konsisten dan stabil serta mengurangkan risiko keseluruhan dan melindungi ketidakstabilan portfolio KWSP, selaras dengan fungsi KWSP sebagai dana seimbang.

“Pada suku tahun ketiga, pelaburan pendapatan tetap mencatat pendapatan seba­nyak RM4.73 bilion atau 32.4 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun ketiga.

“Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf dalam suku ketiga 2018 meningkat kepada RM2.5 bilion manakala Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.24 bilion,” katanya.

Sepanjang suku tahun yang dikaji, beliau berkata, segmen hartanah dan infrastruktur me­rekodkan pendapatan pe­laburan sebanyak RM726.23 juta, naik daripada RM91.73 juta yang dicatat pada suku sama tahun lepas.

“Peningkatan ketara ini di­sebabkan pendapatan dividen yang diterima lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya.