Bekas Presiden REHDA, Datuk Ng Seing Liong berkata, pengurangan GST bagi sektor terbabit diyakini membolehkan pemaju menawarkan lebih banyak rumah mampu milik kepada pasaran.

Katanya, pengurangan GST itu harus diberikan kepada komponen utama dalam pembinaan seperti bar keluli, pasir dan simen yang banyak digunakan dalam pembinaan rumah.

“Saya rasa kerajaan perlu memberi keutamaan kepada rakyat dan meringankan beban mereka dengan mengurangkan kos pembinaan rumah mampu milik yang seterusnya akan menjadikan harga jualan lebih rendah.

“Perkara ini sudah banyak kali saya ketengahkan dan saya berharap kali ini akan ada cara untuk meringankan bebanan rakyat. Terdapat banyak negara di dunia yang menawarkan kadar GST berbeza bagi barang yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai siri ke­dua Ekspo Hartanah Malaysia 2016 (Mapex 2016) dan Ekspo Hartanah Bumiputera (Bumi Mapex) di sini hari ini.

Buat masa ini, jualan bangunan kediaman dikecualikan daripada GST, namun bahan-bahan mentah untuk pembinaan adalah dikenakan GST.

Terdahulu, Seing Liong berkata, siri kedua Mapex 2016 yang berlangsung 21 hingga 23 Oktober ini dijangka meraih jualan sehingga RM300 juta, sama dengan siri pertama pada April lalu.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 51 pemaju, lima institusi kewangan dan enam agensi kerajaan akan menyertai ekspo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Mid Valley itu.

“Kami juga menjangkakan antara 30,000 hingga 40,000 pe­ngunjung hadir ke ekspo itu setiap hari,” ujarnya

Dalam pada itu, katanya, REHDA juga akan menganjurkan Bumi Mapex buat pertama kalinya pada 7 hingga 9 Oktober ini di Pusat Konvensyen Shah Alam yang dijangka menarik 15,000 pengunjung setiap hari.

“Bumi Mapex adalah usaha untuk mengumpulkan unit harta­nah untuk bumiputera pada harga diskaun yang menarik dalam satu ekspo. Harga unit perumahan yang dijual pada ekspo ini dijangka bermula dari RM250,000 seunit,” ujarnya.