LAILI ISMAIL
LAILI ISMAIL 

Pengarah Urusan Kumpulan Perdana, Laili Ismail berkata, setiap kakitangan menerima bonus RM1,000 seorang dua kali setahun iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan bulan Disember.

Laili berkata, ia melibatkan kakitangan di kesemua anak syarikat termasuklah Ekspres Perdana, Lienadia Liner dan Darul Iman Ekspres.

“Kita telah mula memberi bonus sejak 2010 lagi dan ia dibahagikan sama rata tanpa mengira jawatan. Semua kakitangan sama ada peringkat pengurusan mahupun pemandu, jurukaunter dan pembantu am menerima jumlah bonus yang sama,” katanya selepas Penyampaian Bonus Akhir Tahun, Penghargaan Tamat Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 syarikat itu di sini hari ini.

Program itu telah dirasmikan oleh Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Zulkarnain Zakaria. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ekspres Perdana, Wan Mohd Faiz Wan Hamat.

Sementara itu, Laili berkata, syarikat itu turut terkesan dengan pelbagai cabaran yang dihadapi industri pengangkutan awam terutamanya harga tambang tiket ekonomi yang tidak dikaji sejak 10 tahun lalu.

“Kami menanggung beban kenaikan harga diesel, alat ganti, peningkatan gaji pekerja, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan tol yang sentiasa bertambah.

“Antara usaha yang kami buat mengatasi cabaran ini adalah meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan melalui penyediaan bas-bas baharu dan memastikan disiplin tinggi pemandu,” katanya.

EMPAT kakitangan Kumpulan Perdana yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (dari kiri) Razali Z

EMPAT kakitangan Kumpulan Perdana yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (dari kiri) Razali Zahari, Adira Adis, Raja Mohd Noor Raja Ismail dan Mohamad Rashid Omar di majlis Penyampaian Bonus Akhir Tahun, Penghargaan Tamat Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 syarikat itu di Kota Bharu hari ini. Pemberita dan gambar. - UTUSAN ONLINE/ ASMA HANIM MAHMOOD

Jelasnya, sehingga kini Kumpulan Perdana mempunyai kekuatan 90 buah bas dan akan menambah 28 buah lagi bas pada tahun hadapan.

Pada majlis itu juga, beberapa kakitangan dipilih menerima Anugerah Kecemerlangan atas perkhidmatan yang diberi sepanjang tahun ini iaitu Mohamad Rashid Omar, 26; Raja Mohd Noor Raja Ismail, 39; Adira Adis, 24 dan Razali Zahari, 46. - UTUSAN ONLINE