Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, kontrak-kontrak tersebut merupakan pakej kerja utama dan hanya akan dianugerahkan kepada syarikat tempatan.

Beliau berkata, Prasarana kini dalam proses akhir meneliti dan memuktamadkan proses bidaan tender bagi pakej kerja berkenaan dan ia akan diumumkan kelak.

“Kita memang mengutamakan syarikat-syarikat tempatan dan Prasarana menyasarkan 50 peratus daripada kontrak LRT3 diberikan kepada syarikat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara Prasarana dan CRRC Zhuzhou Locomotive Co. Ltd. (CRRC ZELC), Siemens Limited China (Siemens) dan Tegap Dinamik Sdn. Bhd. Consortium (Tegap Dinamik) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi CRRC Corporation Ltd., Liu Hualong.

Prasarana hari ini menganugerahkan pakej kerja Kenderaan Aliran Ringan (LRV) bagi projek LRT3 bernilai RM1.56 bilion kepada konsortium yang dianggotai CRRC ZELC, Siemens Limited China Siemens dan Tegap Dinamik.

Azmi berkata, Prasarana akan memastikan syarikat luar negara yang menerima penganugerahan kontrak bagi projek-projeknya turut mempunyai penglibatan daripada syarikat tempatan.

“Pakej kerja LRV ini merupakan yang terbesar yang ditawarkan oleh projek LRT3. Sebanyak lima buah syarikat telah disenarai pendek bagi tender pada Mei tahun lalu dan hanya konsortium ini menghantar bidaannya apabila tender itu ditutup pada November 2016,” katanya.

Konsortium tersebut bertanggungjawab bagi rekaan, pembuatan, pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan 42 buah LRV enam gerabak bagi projek LRT3.