Ia berdasarkan pembaharuan 702 lot tempat parkir sedia ada di kawasan berkenaan, menurut DBhd dalam kenyataan hari ini.

Kontrak selama 20 tahun yang diperolehi unitnya, Metro Parking Management Philippines Inc, juga akan termasuk pembinaan tambahan struktur tempat letak kenderaan keluli bagi 208 lot di MBP -- hab perniagaan di subbandar maju berhampiran Pusat Bandar Alabang, antara pusat beli-belah dan gaya hidup terkenal di Metro Manila, menurut syarikat itu.

DBhd berkata nilai kontrak juga dijangka meningkat kira-kira 20 peratus kepada 40 peratus seiring kenaikan kadar tempat letak kenderaan seperti dinyatakan dalam kontrak dengan MBP tersebut.

“Kami sentiasa menumpukan meneroka lebih banyak pasaran pertumbuhan tinggi seperti Filipina dan kami akan terus memperluas perkhidmatan dan tawaran serta memanfaatkan kepakaran kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan DBhd, Ts. Brian Iskandar Zulkarim.

Matlamat DBhd bagi Metro Parking adalah mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat pengurusan tempat letak kenderaan utama di Filipina di samping memperkukuh kedudukan sebagai tiga syarikat teratas di Malaysia, katanya.

Kerja asas di kawasan seluas 28,000 kaki persegi berkenaan akan bermula dalam tempoh enam bulan akan datang dan bangunan tempat letak kenderaan itu dijangka siap pada suku ketiga 2020. - BERNAMA