Presiden KVP, Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, komitmen itu akan mengukuhkan lagi kedudukan para vendor dan dapat berkembang bersama Pero­dua.

“Kami menyokong penuh komitmen Perodua untuk me­ningkatkan pembelian komponen walaupun perkemba­ngan jumlah keluaran industri (TIV) dijangka kecil tahun ini. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan perkembangan TIV kurang daripada satu peratus pada 2019,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Komitmen Perodua itu diumumkan oleh Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad semasa pelancaran Perodua Aruz pada minggu lalu.

Tambah Musa Zahidin, KVP menghargai bimbingan dan bantuan yang diberikan oleh Perodua kepada 138 ahlinya.

Menurutnya, antara bantuan yang diberikan termasuk penetapan syarat pembayaran yang lebih singkat kepada ahli-ahli yang terjejas akibat penurunan pembelian komponen yang mendadak bermula 2014.

Katanya, Perodua turut menambah baik kecekapan kewa­ngan pembekal dengan membeli peralatan pembuatan secara terus daripada pengeluar antarabangsa.

“Melalui kaedah ini, pihak pembekal tidak lagi dibebankan dengan hutang daripada institusi kewangan. Selain itu, Daihatsu Motor Company of Japan (Daihatsu) baru-baru ini telah melantik sekurang-kurangnya dua pembekal tempatan untuk menyertai rantaian bekalan globalnya.

“Daihatsu memberi komitmen untuk meneruskan sokongan terhadap Perodua dan pembekal tempatan yang mana ia selari dengan visi Perodua untuk mengembangkan jenamanya di rantau Asia Pasifik,” ujarnya.

Menurut MAA, Perodua telah menjual sebanyak 227,243 buah kenderaan pada 2018 berban­ding 204,867 buah pada 2017 dan menguasai 38 peratus daripada keseluruhan TIV.