Khazanah dalam kenyataannya berkata, mereka yang dilantik ialah Profesor. Xiao’ou Tang, Toh Puan Azian Mohd. Aziz, serta Lau Seng Yee.

“Khazanah mengalu-alukan pelantikan kesemua ahli lembaga pengarah baharu dan berharap dapat terus bekerja dengan lembaga pengarah kami yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memenuhi mandat kami sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Tang adalah pengasas SenseTime iaitu sebuah syarikat AI yang terkemuka yang memfokuskan kepada visi komputer dan pembelajaran mendalam. Tang menerima ijazah Ph.D. dari Massachusetts Institute of Technology; Ijazah Sarjana Sains dari University of Rochester dan Ijazah Sarjana Muda Sains dari University of Science and Technology of China.

Beliau adalah profesor di Jabatan Kejuruteraan Maklumat di Chinese University of Hong Kong dan berkhidmat sebagai Pengarah Bersekutu di Shenzhen Institute of Advanced Technology of the Chinese Academy of Science. Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Editor di International Journal of Computer Vision (IJCV) iaitu satu daripada dua jurnal utama mengenai visi komputer.

Azian pula merupakan Ketua Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara merupakan memegang ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) daripada Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjaya pada 1 Oktober 1987 apabila dilantik sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.

Beliau telah menyandang beberapa jawatan sepanjang kerjayanya termasuk Penasihat Undang-Undang kepada Kementerian Pengangkutan; Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Peguam Negara; Penolong Kanan Penggubalan Parlimen dan Penasihat Undang-Undang kepada Kementerian Pertahanan.

Azian juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Jabatan Perdana Menteri; Peguamcara Perbendaharaan, Kementerian Kewangan; Timbalan Ketua Penasihat (Perbandaran) I di Jabatan Peguam Negara dan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Seng Yee merupakan alumni tersohor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan menerima MBA Eksekutif dari Rutgers University di New Jersey, Amerika Syarikat. Beliau telah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School dan kini menjadi ahli Lembaga Penasihat Harvard Business School Global sejak tahun 2015.