PIC yang merangkumi Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan beberapa fasiliti sokongan lain akan mengambil masa 60 bulan untuk disiapkan bermula dari tarikh FID pada April 2014. Loji penapisan minyak dan perekah wap (steam cracker) dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2019 disusuli loji petrokimia PETRONAS pada suku kedua.

Pada masa ini, kira-kira 50,000 pekerja pembinaan daripada pelbagai negara bekerja mengikut shif. Menjelang akhir tahun, jumlah keseluruhan pekerja dijangka mencapai 60,000 orang bagi menyiapkan projek itu pada 2019.

Menjaga kesejahteraan puluhan ribu pekerja asing daripada seluruh dunia, bukan sesuatu yang mudah. Hal ini diakui Pe­ngurus Besar, Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corp. Sdn. Bhd., Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

“PIC ini merangkumi kawasan seluas 2,526 hektar atau 6,242 ekar yang bersamaan dengan 3,500 padang bola sepak,” kata Anita Azrina. Secara teknikalnya, PIC kini yang rancak dalam pembinaan, menyamai istilah bandar kecil.

Kawasan seluas 404 hektar (1,000 ekar) diperuntukkan bagi kawasan tempat tinggal dan kemudahan untuk para pekerja merangkumi kedai serbaneka, tempat ibadat, panggung wa­yang percuma dan kemudahan sukan termasuk kriket.

Selain kemudahan untuk para pekerja, Petronas turut menyediakan perkampungan eksekutif sementara atau Temporary Exe­cutive Village (TEV) khusus untuk keselesaan pasukan pengurusan syarikat-syarikat terlibat dalam projek PIC.

Diuruskan oleh TMR LC Services Sdn. Bhd. (TMR LC), syarikat usaha sama TMR Urusharta (M) Sdn. Bhd. iaitu subsidiari Damansara Realty Bhd. (DBhd) dan L. C. Catering Sdn. Bhd. (L. C. Catering) menyediakan perkhidmatan katering dan pengurusan fasiliti kepada Petronas Refi­nery and Petrochemical Corporation Sdn. Bhd. dengan kontrak bernilai RM124 juta.

TMR merupakan penyedia penyelesaian kejuruteraan dan pengurusan fasiliti yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Pada Mac 2016, syarikat itu berjaya memenangi kontrak selama tiga tahun bernilai RM35 juta daripada Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. untuk menyediakan perkhidmatan pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

L.C. Catering yang berpangkalan di Johor Bahru merupakan syarikat pengurusan majlis dan katering yang mempunyai pe­ngalaman lebih 25 tahun.

Pengarah Urusan TMR LC, Shamsul Mohd Salleh berkata, TEV pada masa ini memiliki 526 bilik dan apabila siap sepenuh­nya kelak, akan berjumlah 1,544 bilik keseluruhannya, manakala kafetaria boleh memuatkan 800 orang sekali gus.

Untuk menguruskan TEV, syarikat tersebut kini memiliki 203 kakitangan, dengan sasaran ideal 260 orang bila kemudahan tersebut beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Dalam konteks ini, TMR LC menyediakan latihan kepada kakitangannya selama tiga bulan di KLIA, sebelum dihantar bertugas di PIC. Kira-kira 50 peratus adalah anak Johor dengan 25 pe­ratus dari Sabah dan selebihnya dari negeri-negeri lain.

Mengenai latar belakang syarikat, beliau berkata, TMR Urusharta, asalnya dikenali sebagai KOLL (Malaysia) Sdn. Bhd., ditubuhkan pada 1997 sebagai syarikat usaha sama Koll Asia Pasific dan pelabur tempatan khusus dalam sektor pengurusan kemudahan, berpangkalan di Johor. Tiga tahun kemudian, ia dimiliki sepenuhnya oleh pelabur tempatan dan menukar namanya kepada TMR Urusharta sebagai syarikat bumiputera.

Pelanggan awal syarikat ini ialah Johor Corporation iaitu menguruskan bangunannya di Johor dan Lembah Klang, malah hubungan kerja ini berterusan ke hari ini dengan TMR kekal menyenggara Menara JCorp di ibu negara dan Kompleks Mutiara Johor Land di Johor Bahru.

Projek penyenggaraan kawasan perumahan bagi kakita­ngan Shell Sarawak di Miri dan Bintulu, menjadi satu daripada asas kuat kepada TMR muncul sebagai calon pilihan semasa proses membida projek TEV di PIC, Pengerang.

Ditanya apakah potensi perniagaan lain yang boleh diteroka daripada RAPID, beliau berkata, berdasarkan pembangunan semasa, segmen yang amat diperlukan ialah pembangunan perumahan, pendidikan, sektor hospitaliti seperti hotel, resort dan inap desa serta perkhidmatan sokongan seperti pengangkutan awam.

“Kami berharap projek ini akan menjadi pemangkin untuk kami melangkah ke pasaran antarabangsa dan kami mahu menjadi syarikat penyedia pe­ngurusan kem keseluruhan Bumiputera pertama yang memberi perkhidmatan kepada dunia luar,” ujar beliau.