Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo berkata, ini kerana, setiap syarikat memiliki data masing-masing sebagai rujukan untuk menggelarkan platform berke­naan adalah nombor satu.

Katanya, beliau merasakan menjadi peneraju adalah lebih adil kerana pada bulan berbeza, industri ini menyaksikan pene­raju yang berbeza.

“Oleh itu, kami juga boleh mengatakan Lazada juga nombor satu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan ciri baharu aplikasi Lazada di sini hari ini.

Selain Lazada, antara pemain industri lain yang sedang agresif bersaing adalah Shopee, Carousell Malaysia dan Lelong.my.

Dalam perkembangan lain, Lazada bakal menganjurkan Kempen Pertengahan Tahun pada 12 Julai ini meliputi enam pasaran di Asia Tenggara dengan tawaran diskaun sehingga 50 peratus.

Festival itu memberi tawaran menarik kepada pembeli dan juga penjual lebih-lebih lagi ia dianjurkan pada waktu yang selalunya tidak sibuk bagi musim membeli-belah.

Jelas Diana, Lazada Malaysia menjangkakan peningkatan trafik sewaktu festival berkenaan.

“Selain itu, pelbagai ciri baharu diperkenal antaranya permainan secara langsung ‘Guess IT’ dan pratempahan ‘Chup Dulu’ membolehkan pengguna untuk membuat tempahan awal bagi produk terpilih.

“Kami juga menawarkan jaminan harga terendah bagi produk dijual di LazMall,” katanya.