Ketua Pegawai Eksekutif Virtualflex, Norsiah Juriani Johari berkata, MoA tersebut melibatkan kerjasama sinergi dan strategik di antara syarikat tersebut dengan WBN yang menaungi lebih sejuta pekerja a­sing di Malaysia terdiri dari pada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan banyak lagi.

Katanya, menerusi MOA itu, Virtualflex akan menyediakan kemudahan kad tanpa tunai seperti dompet mudah alih, pembayaran kad prabayar serta transaksi atas talian yang mudah, cepat dan selamat.

“Saya yakin ia dapat menarik lebih ramai pekerja warga asing untuk menggunakan kad ini kerana ia bukan sahaja boleh digunakan untuk urusan pene­rimaan gaji bulanan malahan mereka juga melakukan transaksi atas talian atau tambah nilai prabayar yang cepat dan selamat.

“Penggunaan KA$H adalah mudah, cepat dan mesra pengguna. Nilai prabayar KA$H e-dompet ini juga mampu menampung sehingga RM10,000 kapasiti,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoA di sini hari ini.

MoA tersebut ditandatangani oleh Norsiah Juriani Johari dan Pengarah WBN, Datuk Paduka Muhammed Hafly Ramle disaksikan oleh Pengerusi Virtualflex, Jamaludin Md. Ali, dan Pengarah Urusan WBN. Datuk Seri Paduka Diraja Ramle Mat Daly.

Selain itu, setiap pekerja a­sing turut dapat menggunakan fasiliti global MasterCard tanpa perlu ke bank kerana ia dilengkapi dengan sistem ‘sign-on’ dan kenali pelanggan anda (KYC) yang mudah.

Setiap permohonan untuk memiliki kad ini juga mudah kerana mereka hanya perlu memuat naik salinan pasport masing-masing.

Setakat ini, KA$H Prepaid MasterCard merekodkan kira-kira 40,000 pengguna.

Pada Mac 2019, Virtualflex dan Kulim (Malaysia) Berhad telah melancarkan Cashless Estate pertama di Malaysia dengan melaksanakan pembayaran gaji bulanan tanpa tunai menerusi KA$H Prepaid MasterCard yang memanfaatkan 5,000 pekerja warga asing di ladang milik Kulim.

KA$H Prepaid MasterCard ini juga boleh digunakan untuk pengeluaran serta pemindahan wang di samping mendapat diskaun atau pulangan tunai sehingga 10-15 peratus bagi pembelian barangan dan perkhidmatan dengan rakan niaga terpilih seperti KFC, Ayamas, busonlineticket.com dan Lazada tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan syarikat yang mengambil bahagian.