Majlis bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pesara ini sepanjang perkhidmatan selama 21 tahun bersama TLDM.

Pesara yang diraikan ini terdiri daripada mereka yang telah menamatkan perkhidmatan antara Julai 2018 hingga Jun tahun ini.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli berkata, jasa serta khidmat bakti warga ‘Navy People’ ini tidak ternilai kerana menjadi tunggak terhadap kesiapsiagaan TLDM selama ini.

Menurut beliau, biarpun meninggalkan perkhidmatan namun, golongan ini masih boleh menyumbang kepada negara menerusi pelbagai kegiatan atau kerjaya yang akan diceburi selepas bersara.

“Anggota TLDM dilatih dengan nilai-nilai disiplin, kerjasama, keterampilan diri serta integriti dan ia merupakan kelebihan termasuk sekiranya mereka menceburi kerjaya baharu.

“Saya berkeyakinan peluang di luar masih luas untuk diceburi, justeru segala pengalaman yang diperolehi semasa berkhidmat boleh dimanfaatkan selepas persaraan,” ujarnya semasa berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama ialah Panglima Logistik Barat, Laksamana Pertama Franklin J. Jospeh serta pegawai-pegawai kanan di pangkalan berkenaan.

Dalam pada itu, Rusli turut mengingatkan para pesara agar terus mempraktikkan budaya kecergasan sekali gus mengekalkan gaya hidup sihat.

Pada majlis tersebut, Rusli turut menyampaikan Sijil Penghargaan TLDM dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional berjumlah RM400 kepada para pesara yang diraikan. - UTUSAN ONLINE