Penganalisis ekonomi, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, pengambilalihan tersebut akan memberi kelebihan kepada rakyat jika kerajaan tidak lagi perlu membayar pampasan kepada PLUS sekali gus dapat mengurangkan jumlah hutang kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan sehingga kini belum mampu menunaikan janji pemansuhan tol berikutan kekangan kewa­ngan dan ia hanya akan mampu merealisasikannya jika berjaya mengenal pasti punca pendapatan lain untuk menampung kos pengendalian lebuhraya seperti mewujudkan banyak ruang untuk perniagaan dan pengiklanan di sepanjang lebuhraya atau menaikkan cukai jalan.

“Ini bermakna kerajaan boleh menyalurkan dana yang diperoleh hasil penjimatan ini untuk program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Pengguna PLUS juga bakal menikmati kadar tol yang le­bih murah. Cuma satu kekurangan ia­lah pengguna le­buhraya PLUS terpaksa me­nunggu lebih lama lagi untuk menikmati le­buh­raya yang bebas tol iaitu antara tahun 2048 hingga 2068,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Maju Holdings mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS dengan syarikat itu mengemukakan empat tawaran kepada kerajaan dan kesemuanya bergantung pada pelanjutan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan yang dijangka tamat pada 2038.

Syarikat itu mencadangkan pengurangan kadar tol sebanyak 25 peratus bagi mendapatkan pelanjutan tempoh konsesi 10 tahun atau pengurangan 30 peratus jika tempoh konsesi dilanjutkan selama 15 tahun sehingga 2053.

Penawaran pengurangan kadar tol 33 peratus juga jika tempoh konsesi dilanjutkan kepada 20 tahun atau pengurangan 36 peratus kadar tol untuk pelanjutan tempoh konsesi 30 tahun hingga 2068.

Razman berkata, di atas kertas, cadangan Maju Holdings nampak amat menarik kepada kerajaan kerana ia akan mengurangkan liabiliti kontinjen kerajaan sebanyak RM30 bilion dan kerajaan tidak perlu membayar pampasan sebanyak RM900 juta yang masih belum dibayar kepada PLUS.

Kadar tol juga tidak akan dinaikkan sepanjang tempoh konsesi malahan akan dikurangkan.

“Maju Holdings mempunyai kemampuan dari segi kepakaran dan pengalaman kerana pada masa ini mereka berjaya menguruskan Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dengan baik dan mencatatkan keuntungan.

“Isu yang mungkin timbul ialah adakah mereka mampu mendapat pembiayaan sebanyak RM36 bilion tersebut,” katanya.