Setakat ini, negara mempunyai kemudahan landasan kereta api elektrik KTMB (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, MRT1 (laluan Sungai Buloh-Kajang), aliran transit ringan (LRT) dan monorel bagi memenuhi keperluan penduduk.

Dua lagi projek yang akan dibangunkan ialah MRT2 dan LRT3 yang baru sahaja diluluskan ke­rajaan setelah kos pembinaan di­semak semula akan menjadikan pengangkutan awam di negara ini lebih efisien pada masa akan datang.

Perkembangan pesat dalam industri ini turut menyaksikan kemunculan syarikat-syarikat tempatan yang memiliki kepakaran setanding dengan syarikat di luar negara.

Nama-nama besar seperti MMC, Gamuda, George Kent dan MRCB boleh dilihat sebagai perintis dalam pembangunan industri rel di negara ini yang kemudiannya membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan yang lain.

Antara syarikat yang mendapat manfaat daripada perkembangan sistem pengangkutan rel di negara ini ialah Interfleet Rail Engineering & Consulting Sdn. Bhd., sebuah firma perunding kejuruteraan yang mula beroperasi pa­da Jun 2016.

Walaupun baru sahaja ditubuhkan, namun syarikat ini memiliki kepakaran dalam pembangunan infrastruktur bagi kerja-kerja laluan dan gerabak kereta api.

Pengarah Urusannya, Ir. Syed Neguib Syed Mohamed berkata, secara dasarnya, penglibatan syarikat bumiputera dalam segmen tersebut masih rendah dengan kira-kira empat hingga lima pe­ratus sahaja setakat ini.

Katanya, pada peringkat awal penubuhan syarikat itu, beliau lebih memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan laluan manakala rakannya, Hapizan Salleh pula mempunyai kepakaran dalam gerabak kereta api.

“Bagaimanapun, saya dapati sekarang ini terdapat keperluan untuk meningkatkan lebih ba­nyak tumpuan kepada sistem komponen gerabak kerana penyenggaraan sistem akan menjadi lebih penting pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Interfleet sebelum ini terlibat dalam projek penyambungan LRT Ampang bagi pengubahsuaian sisi laluan dan pengadang bunyi, perkhidmatan penggerudian rel, pengubahsuaian sistem tenaga rel dan kerja-kerja laluan.

Buat masa ini, projek terbaharu melibatkan syarikat itu ialah KVMRT2, LRT3, Projek Penyambungan Jajaran Ampang dan pemasangan dan pengujian substesen daya tarikan untuk sistem kabel.

Baru-baru ini, Interfleet me­nerima dana sebanyak RM200,000 dari SIRIM bagi sistem penyam­bungan kereta api yang dibuat de­ngan kerjasama sebuah syarikat dari Sweden di bawah program penempatan industri.

Pemasangan komponen itu akan dibuat untuk tren eletrik CRRC untuk projek LRT3. Komponen ini juga dipasang di tren Bombardier bagi jajaran LRT Kelana Jaya, Hyundai Rotem untuk MRT2, Hyundai Rotem EMU Class 83, ETS dan SCS dari CRRC untuk Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedia ada.

Oleh itu, fasiliti ini juga membuka peluang untuk industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tren pada masa hadapan.

Menurut Syed Nequib, Interfleet akan menjalin lebih banyak kerjasama dengan syarikat dari luar negara dalam membantu meningkatkan kepakaran jurutera tempatan supaya mampu bersaing dengan syarikat tempatan dan global yang lain.

“Dengan ini, kami boleh bersaing dengan lebih proaktif dan cuba menyertai projek-projek pembangunan rel di luar negara terutama Asia dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.