Presiden Komersial Radio Malaysia (CRM), Kudsia Kahar berkata, secara dasarnya industri radio mencatat banyak kemajuan tetapi masih terdapat keperluan segera bagi penggubal dasar dan pihak berwajib untuk berusaha lebih gigih demi menambah baik industri.

Katanya, sebagai sebuah persatuan, CRM berganding bahu untuk menyelesaikan isu undang-undang, menggalakkan aktiviti yang membabitkan penyertaan pendengar, menganjurkan program untuk pelajar universiti dan berkongsi sumber untuk kajian penarafan.

“Setiap stesen ahli persatuan kami sudah mencapai kemajuan besar dalam usaha menjangkaui peranan sebagai sumber hiburan semata-mata. Sekarang kami sedang menyusun rancangan kami mengikut keperluan dan kecenderungan khusus pendengar sasaran sama ada lagu paling popular, wawancara atau program khas berkaitan wanita, agama, sukan dan bahasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

CRM adalah persatuan yang mewakili 22 stesen radio komersial di negara ini. Baru-baru ini, CRM telah melancarkan laman webnya secara rasmi sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-18 dengan membawakan perkembangan terkini tentang stesen ahli, aktiviti, video dan berita persatuan.

Pucuk pimpinan CRM yang diterajui Kudsia, Malek Ali sebagai Bendahari Kehormat, Yusry Abu Samah (Bendahari Kehormat) dan Seelan Paul Thurai (Naib Presiden) akan terus memegang jawatan masing-masing hingga AGM seterusnya pada 2016.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharu CRM, Kudsia berkata, persatuan akan melancarkan program Tokoh Terbilang Radio yang mana pengumuman ahli-ahli sulungnya akan dibuat menjelang hujung tahun ini.

Katanya, program itu akan menjadi program tahunan untuk menghargai, mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada tokoh radio yang telah banyak berjasa dan memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan industri radio hingga mencapai kedudukan kukuh hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan 2014 sebagai tahun paling mencabar kerana ahli-ahli CRM perlu bekerja lebih masa untuk membawakan perkembangan terkini banjir di Pantai Timur dan tragedi tiga pesawat terhempas melibatkan Malaysia Airlines dan AirAsia.