Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers Bhd., Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, daripada jumlah tersebut, RM9 juta digunakan untuk perkhidmatannya dan baki RM7 juta digunakan untuk penyeliaan pembinaan.

“Kerja-kerja dijangka selesai pada suku keempat 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sittampalam, HSS Engineers mengunjurkan projek itu akan menyumbang secara positif kepada prestasinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 sehingga 2022.

Beliau berkata, penganuge­rahan kontrak tersebut juga mencerminkan pengalaman luas kumpulan dalam pengurusan projek dan reka bentuk kejuruteraan untuk pelabuhan dan perkembangan infrastruktur utama.

“Kami juga berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada projek penting dalam pembangunan industri maritim Malaysia serta rantaian bekalan industri minyak dan gas nasional dan akan menyasarkan untuk terus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara,” katanya.

HSS Engineers mempunyai reputasi yang mantap dalam menyediakan perkhid­matan kejuruteraan dan pengu­rusan projek yang merangkumi reka bentuk kejuruteraan, pengurusan projek, penyeliaan pembinaan dan perkhidmatan pemodelan maklumat bangunan.

Kumpulan HEB mempunyai pengalaman yang luas dalam pelbagai sektor termasuk infrastruktur bandar, jalan raya dan lebuh raya, kereta api dan sistem metro, bangunan dan struktur, perancangan pengangkutan, penjanaan kuasa, dan sumber dan bekalan sumber air.

Kumpulan itu turut menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di arena domestik dan antarabangsa seperti India dan Asia Barat.