Beliau suarakan harapannya pada Simposium Hartanah Utusan 2016 (SHU2016) yang dianjurkan Kumpulan Utusan selama dua hari berakhir semalam dan dihadiri lebih 2,000 peserta.

“Saya cukup gembira jika walaupun seorang sahaja yang mendapat ilmu berguna sepanjang dua hari ini, saya sudah ber­syukur dan hasrat saya tercapai.

“Namun, dalam soal hartanah ini, di mana kedudukan orang Melayu dalam pemilikan hartanah ini.

“Apatah lagi, negara kita sudah 59 tahun merdeka dan bangsa lain telah ke hadapan dalam perkara ini,” katanya ketika berkongsi Strategi Paling Power Dalam Pelaburan Hartanah dalam program tersebut.

SHU2016 adalah kali kedua dianjurkan dan menampilkan 15 penceramah berpengalaman bagi membongkar rahsia dunia hartanah secara terperinci.

Antara topik dan kupasan menarik yang dibincangkan termasuk Era Mampu Milik Mewah oleh Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn. Bhd. (Andaman), Datuk Se­ri Dr. Vincent Tiew.

Perbincangan lain termasuk Islam dan Hartanah oleh Ghazali Ibrahim; Tiga Cara Yang Mudah Untuk Dapatkan Pinjaman oleh Vince Chia dan Teknik Langsai Hutang Rumah 10 Tahun oleh Abdul Aziz Ahmad.

Sebagai individu yang telah lama bergelumang dengan onak duri dunia hartanah, Ahyat Kha­lissabri menyedari terdapat ba­nyak faktor menghalang peningkatan pemilikan hartanah dalam kalangan orang Melayu terutama soal kekangan kewangan dan tekanan kos sara hidup yang semakin menekan sejak kebelaka­ngan ini.

Apatah lagi sebelum ini, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendapati tahap pendapatan bumiputera adalah rendah sekitar 20 peratus berbanding kaum lain di negara ini.

Malah, MTEM juga melihat pemilikan hartanah adalah antara penunjuk utama tahap kekayaan individu dan syarikat berbanding bergantung kepada pendapatan semata-mata.

Menurut Ahyat Khalissabri, peluang untuk memiliki hartanah sebenarnya terbentang luas de­ngan pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan, antaranya, MyDeposit dan MyHome untuk membantu pembeli rumah pertama.

“Semua peluang ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin supaya kita tidak ketinggalan berbanding bangsa lain yang telah mempunyai kesedaran tinggi terhadap pemilikan hartanah ini.

“Bakal pembeli rumah pertama terutamanya perlu mengetahui tujuan sebenar mereka membeli aset itu supaya mengelakkan orang ramai membeli aset yang tidak menambah nilai kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, kesedaran orang Melayu terhadap pemilikan hartanah mula meningkat sejak dua tahun lalu hingga membawa kepada fenonema dikenali ‘ombak hartanah Melayu’.

“Saya mahu orang Melayu ada hartanah sendiri untuk diduduki dan kemudiannya atas tujuan pelaburan. Tetapi dalam kedua-dua aspek ini, lengkapkanlah diri dengan ilmu hartanah sebelum menceburkan diri dalam medan hartanah yang banyak cabarannya,” kata Ahyat Khalissabri.

Apa yang dinyatakan Ahyat Khalissabri itu ada kebenarannya apabila satu daripada pence­ramah SHU2016, peguambela dan penguamcara hartanah, Nazri Mustafa mendapati, ada sesete­ngah pihak menolak untuk me­lantik peguam disebabkan ingin berjimat, enggan membayar kos guaman dan berpendapat urusan jual-beli boleh dilaksanakan sendiri tanpa khidmat peguam.

Katanya, penjual atau pembeli perlu melantik peguam untuk menguruskan hal-hal jual beli hartanah bagi mengelakkan kerugian di kemudian hari.

“Urusan dan proses jual beli hartanah nampak sama tetapi sebenarnya berbeza antara satu kes dengan kes yang lain. Contohnya deposit, biasanya penjual minta 10 peratus tetapi mungkin kita mahu duit lebih dan minta duit deposit 20 peratus.

“Dalam hal ini, sekiranya perjanjian ini dibatalkan, kita perlu tahu sama ada dalam perjanjian dinyatakan deposit itu akan dipulangkan sepenuhnya atau separuh,” katanya yang berkecimpung dalam perundangan hartanah selama 23 tahun.

Pastinya, sebelum sebarang keputusan dibuat, bakal pembeli melengkapkan diri dengan ilmu hartanah terlebih dahulu terutama pembeli rumah pertama.

Ini kerana, bagi sesetengah orang, membeli hartanah adalah sekali seumur hidup dan sudah tentu mereka mahukan yang terbaik demi masa depan keluarga.