Beliau berkata, pada tahun lalu harga kereta telah turun sebanyak 7.10 peratus secara purata bagi semua model dan varian, manakala pada tahun 2013, harga kereta telah turun sebanyak 4.97 peratus.

Beliau berkata, harga kereta yang lebih rendah telah memberi manfaat hampir 72.5 peratus daripada pembeli kereta pada tahun 2014.

“Kami fikir harga kereta boleh diturunkan sebanyak 20 peratus, jika dapat diturunkan kepada 30 peratus, ia adalah satu bonus,’’ kata beliau dalam sidang akhbar di majlis Status Terkini Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 di sini hari ini.

DAN telah diperkenalkan pada Januari 2014 yang menekankan objektif utama iaitu membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab kenderaan cekap tenaga (EEV) menjelang 2020.

Bagaimanapun, mengulas mengenai eksport dan import untuk industri automotif, Mustapa berkata, jurang akaun dagangan masih besar apabila nilai import lebih tinggi daripada eksport untuk tahun lalu.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga November 2014, eksport untuk kereta, motosikal dan alat ganti bernilai RM4.89 bilion berbanding import iaitu RM17 bilion.

Sehubungan itu, beliau percaya DAN adalah satu pelan tindakan untuk meningkatkan eksport dalam jangka masa yang panjang.

Pada satu soalan mengenai kontroversi permit import (AP), beliau berkata, kajian mengenainya akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Pada masa yang sama beliau menjelaskan bahawa pengecualian cukai untuk kenderaan hybrid pemasangan tempatan (CKD) yang berakhir pada tahun ini tidak akan dilanjutkan.