Gamuda berkata, lembaga pengarahnya hari ini telah membincangkan tawaran yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan telah memutuskan untuk mengundi memihak kepada mereka di syarikat pemegangan konsesi masing-masing.

“Lembaga akan membuat pengumuman yang sewajarnya dalam masa terdekat selepas melalui proses sewajarnya dengan syarikat bersekutu dan syarikat usaha sama masing-masing,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

MOF Inc dalam pemfailan berasingan dengan Bursa Malaysia oleh Gamuda dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak Holdings) sebelum ini telah mengeluarkan surat tawaran kepada empat syarikat konsesi lebuh raya iaitu Kesas Holdings, Sprint Holdings, Litrak Holdings dan Smart Holdings.

Gamuda memiliki 44 peratus kepentingan dalam Litrak, Sprint (52 peratus), Kesas (70 peratus) dan SMART (50 peratus).

Kerajaan pada bulan Februari mengumumkan hasratnya untuk memperoleh empat lebuh raya di Lembah Klang, sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya.

Saham Gamuda ditutup 5 sen atau 1.36 peratus pada RM3.72 petang Khamis. -UTUSAN ONLINE