Pengasas Bersama Fave, Joel Neoh berkata, sepanjang Ra­ma­dan lalu lebih RM1 juta dalam bentuk pulangan tunai telah diberikan kepada pelanggan setia menerusi platform berkenaan.

Katanya, sepanjang bulan tersebut juga rakyat Malaysia telah menikmati penjimatan secara keseluruhannya lebih RM2 bilion menggunakan baucar pembelian di Fave.

“Berdasarkan kadar penembusan telefon pintar dan kegunaan data mudah alih di Malaysia yang tinggi iaitu pada kadar 76 peratus, aplikasi pembayaran kini berevolusi pada tahap yang pesat dengan ciri-ciri dan alat pembayaran baharu.

“Malah, data daripada Kementerian Kewangan menunjukkan sejumlah 25.126 juta transaksi pembayaran mudah alih bernilai RM725.8 juta telah dicatat bagi suku pertama tahun ini.

“Kepesatan ini menekankan keperluan untuk peniaga mengguna pakai pembayaran mudah alih yang pantas, mudah dan terjamin keselamatannya,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Neoh, menerusi platform Fave yang tertumpu kepada peniaga, ia menawarkan penyelesaian lebih tersusun bagi membolehkan pembayaran e-dompet selain pemasaran, operasi, kewangan dan analitik data.

“Platform perniagaan Fave, Favebiz menyasarkan untuk memberikan penyelesaian yang memperkasa syarikat perniagaan di Asia Tenggara menerusi penerimaan pembayaran mudah alih yang lebih efektif,” katanya.

Pada masa ini Fave telah menjalin kerjasama dengan lebih 10,000 perniagaan di seluruh bandar utama di Malaysia seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang untuk menawarkan pilihan perkhidmatan dan pembayaran melalui aplikasi berkenaan.

Antara jenama yang terdapat di Fave ialah Auntie Anne’s, Juice Works, Boat Noodle, Kyochon, Healthland, Nam Heong, The Alley, Starbucks, Kenny Rogers, Durian King dan Xixili.