Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Automotif Naza Corp. Holdings Sdn. Bhd., Datuk Samson Anand George berkata, DS Store menekankan kesempurnaan dunia DS Automobiles yang penuh dengan identiti korporat bersama kepakaran Perancis dalam segmen premium.

Menurut beliau, ruang pameran yang berkeluasan 300 meter persegi itu mampu memuatkan tiga buah kereta pada satu-satu masa.

“DS Store juga menawarkan kemudahan 3S kepada pemilik kenderaan DS. Cawangan ini turut berperanan sebagai hab pusat sehenti kepada pemilik dan bakal pelanggan untuk merasai sendiri tawaran terbaik daripada DS Automobiles.

“Sokongan dan visi berterusan daripada DS Automobiles membantu memacu perkembangan jenama DS di Malaysia. Kami merancang untuk mela­bur RM5 juta bagi tujuan pemasaran, operasi dan lain-lain pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis pembukaan DS Store adalah CEO DS Automobiles, Yves Bonnefont.

DS Automobiles adalah jenama premium terkemuka Perancis yang eksklusif dan pengalaman pengguna terbaik menerusi penawaran produk yang berkualiti bersama standard perkhidmatan yang tersendiri.

Lounge pelanggan membolehkan pengunjung untuk konfigurasi, berdasarkan cita rasa sendiri serta membeli DS terbaik di dalam kedai dengan dibantu oleh penasihat DS. Ruang pameran menempatkan model-model terbaik daripada koleksi DS.

Pengalaman realiti maya (VR) di zon VR menyesuaikan teknologi Visi Maya DS membolehkan pengunjung melihat model terbaharu DS secara maya, meneroka, ubah suai dan berinteraksi dengan kereta dengan cara yang hampir realistik.

DS Automobiles kini memiliki 450 DS Store di seluruh dunia dan akan terus menarik minat penggemar kereta premium global.