Pengarah Urusannya, Kaoru Arai berkata, Contra 2.0 melibatkan pengurangan yuran pembrokeran Akaun Kontra asal Rakuten Trade dengan yuran minimum RM7 sehingga RM100.

Katanya, Rakuten Trade yang mula beroperasi pada pertengahan 2017 mempunyai kira-kira 27,000 akaun dengan lebih 10 peratus daripadanya adalah Akaun Kontra.

“Contra 2.0 menyediakan Program Rebat Dagangan Harian bagi pelabur yang berdagang (beli dan jual) di kaunter yang sama dengan kerap pada hari sama.

“Rebat akan diberikan ke atas yuran broker jualan apabila mereka membeli dan menjual saham yang sama pada hari sama, rebat akan dikreditkan ke dalam akaun mereka pada akhir hari daga­ngan,” katanya pada majlis pelancaran Contra 2.0 di sini hari ini.

Akaun Kontra ialah akaun dagangan yang memberikan pelabur had perbelanjaan lebih besar berasaskan saham dan/atau tunai yang diletakkan sebagai cagaran.

Seterusnya, bergantung kepada saham yang ingin dibeli oleh pelabur, Rakuten akan memberikan kemudahan pengganda sehingga lima kali atau lebih. Bagaimanapun, penjelasan perlu dibuat dalam masa tiga hari.

Menurut Kaoru, Contra 2.0 benar-benar mencetus perubahan besar dan kemudahan itu menawarkan pembaharuan sebenar kepada platform daga­ngan kontra sedia ada.

“Objektif kami adalah menggalakkan lebih ramai orang untuk berdagang dalam talian dan kami percaya dengan mempermudahkan urusan seperti mengurangkan yuran broker dan menambah Program Rebat Dagangan Harian di samping kemudahan platform Dagangan Kontra sedia ada, kami mampu mencapai matlamat tersebut.