Ketua Pegawai Strategi dan Transformasinya, Muniff Kamaruddin berkata, Celcom kini sedang menubuhkan Pusat Kecemerlangan Objek Rangkaian Internet (IoT) yang merangkumi pembangunan rangkaian, kandungan, penyelidikan dan ekosistem di Malaysia.

“Sebagai syarikat yang mahu bersama-sama membangunan masyarakat, kami teruja dengan peluang yang ada dalam rangkaian 5G ini.

“Justeru kita telah membangunkan pusat IoT Januari lalu untuk melaksanakan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk seiring perlaksanaan rangkaian 5G,” katanya ketika ditemui pada Pameran 5G Malaysia, di sini hari ini.

Muniff berkata, Celcom kini telah memulakan proses menambah baik sistem utamanya (core system) bagi memastikan kelancaran rangkaian berkenaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya dua tahun lagi.

Sementara itu bercakap mengenai pameran berkenaan, Celcom mempamerkan lima aplikasi penggunaan iaitu kereta berautonomi pandu sendiri, dialog hologram, persidangan maya, bola sepak maya serta siaran langsung sambungan dron 4K.

Bagi kereta berautonomi katanya, ia merupakan gabungan sensor, kamera, radar dan kecerdasan buatan (AI) bagi menggerakkannya ke satu destinasi tanpa pengendalian manusia.

“Dialog hologram pula menunjukkan paparan imej tiga dimensi (3D) dan audio antara individu berjauhan dalam masa nyata dengan tahap realisme hampir sama dengan kehadiran fizikal.

“Justeru saya harap dengan penyertaan kami pada pameran ini akan memberi idea kepada pelaksana teknologi 5G dalam industri lain untuk membangunkan aplikasi tersendiri,” katanya.

Pameran 5G Malaysia yang bermula semalam akan berlangsung sehingga Ahad ini di Kompleks Perbadanan Putrajaya.-UTUSAN ONLINE