Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, CCM Duopharma akan dikenali dengan nama Duopharma Biotech Berhad selepas memperoleh kelulusan para pemegang saham untuk menukar nama syarikat yang merupakan sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula.

Katanya, inisiatif penjenamaan semula itu melengkapkan misi syarikat untuk menerajui pembangunan dan menawarkan terapi perubatan baharu yang sangat diperlukan untuk meningkatkan kesihatan awam dan memperluaskan jejaknya di pasaran baharu di dalam dan di luar ASEAN.

“Diperbadankan pada 1978, kejayaan CCM Duopharma dibina atas kerja keras, disiplin, ketabahan dan yang paling penting, kekuatan kakitangan syarikat.

“Penampilan baharu ini menarik inspirasi daripada idea kakitangan kami dan menandakan bagaimana jenama telah berkembang sejak 40 tahun yang lalu menjadi satu jenama farmaseutikal yang paling dipercayai dan terkemuka di Malaysia serta ASEAN,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, melangkah ke hadapan kumpulan akan terus mene­roka produk dan teknologi baharu yang segar dan inovatif, memperoleh dan menggunakan kemahiran dan pengetahuan berdasarkan teknologi dan melengkapkan tenaga kerja dengan memanfaatkan sumber-sumber sedia ada dan rakan kongsi baharu terutama dalam pengetahuan dan pemindahan teknologi.

“Ini akhirnya akan membawa kepada penghasilan produk yang mempunyai kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” katanya.