Sungguhpun pasaran agak memberangsangkan sehingga jumlah dagangan keseluruhan mencecah melebihi dua bilion dalam dua minggu pertama Januari ini, indeks pasaran FBM KLCI masih tidak dapat melepasi paras 1,700 mata.

Paras 1,700 mata ini hanya berjaya dilepasi semasa aktiviti Window Dressing iaitu hari terak­hir dagangan Bursa Malaysia pada 31 Disember tahun lepas.

Untuk memecah paras psikologi 1,700 mata ini memerlukan sokongan pelabur institusi tempatan termasuk pelabur asing. Sehingga kini pasaran saham tempatan masih gagal melepasi paras 1,700 untuk memberikan indikator pasaran akan kembali pulih semula.

Jika disemak semula harga-harga saham syarikat tersenarai yang naik baru-baru ini, ia sekadar merupakan proses pemulihan daripada kejatuhan terdahulu. Iaitu satu kejatuhan yang berpanjangan dan agak banyak. Tidak hairanlah sekiranya portfolio pelaburan telah menyusut sehingga ada yang mencecah lima puluh peratus.

Saham terlebih jualan

Terdapat banyak saham yang berada pada paras terlebih jualan ini melantun semasa proses pemulihan yang berlaku baru-baru ini. Sekiranya mengikuti artikel lepas yang bertajuk ‘Perlu ada modal baharu apabila rugi’, pembaca akan melihat kesan yang berlaku sekarang yang mana pelabur dan pedagang yang kerugian dapat menjana keuntungan semasa pasaran mengalami pemulihan dengan adanya modal baharu.

Oleh kerana kenaikan ini merupakan proses pemulihan, ia bukanlah suatu rally seperti kebiasaannya yang dikaitkan dengan kesan Januari atau rally kedatangan perayaan Tahun Baharu Cina seperti yang berlaku hampir setiap tahun.

Sekiranya pelabur dan pedagang saham tidak berhati-hati memasuki pasaran dalam kea­daan ini khususnya pedagang yang kerap membuat aktiviti urus niaga harian atau singkat, dikhuatiri boleh sekali lagi terperangkap apabila pasaran berubah trend.

Bukan proses pemulihan 

Fakta yang mengatakan ke­rancakan aktiviti pasaran saham ini adalah sekadar proses pemulihan kesan daripada kejatuhan yang teruk dan berpanja­ngan adalah tidak tepat.

Ini kerana saham-saham mewah atau saham-saham berkaitan indeks masih tidak menunjukkan peningkatan harga yang banyak disebabkan tiada sokongan daripada institusi tempatan dan pelabur asing. Indeks pasaran FBM KLCI juga masih gagal memecah paras 1,700 mata

Justeru, berdasarkan kepada fakta inilah Cikgu Saham berpendapat bahawa pasaran sekadar mengalami proses pemulihan yang agak lemah dan bukan kesan Januari atau rally Tahun Baharu Cina.

Berhati-hati dengan 
pasaran

Pelabur dan pedagang saham perlu berhati-hati semasa berurus niaga dan bijak untuk keluar dan masuk pasaran serta tahu untuk berhenti seketika sekira­nya melihat tanda-tanda pembalikan atau perubahan arah hala tuju pasaran.

Sekiranya keseluruhan jumlah dagangan menjadi semakin besar atau meningkat setiap hari, pelabur dan pedagang saham harus berwaspada dan mula memperlahankan aktiviti urus niaga.

Sekiranya masih aktif mela­kukan jual beli saham, pelabur perlu tahu untuk mengambil keuntungan dan lebih fokus me­lakukan urus niaga singkat atau harian.

Ini disebabkan sekiranya jumlah keseluruhan urus niaga pasaran menghampiri tiga bi­lion, akan terdapat pengambilan untung yang besar termasuk jualan paksa. Justeru, sekiranya pedagang saham jangka masa singkat tidak sedar akan berlakunya penjualan ini, ditakuti mereka berpotensi terperangkap membeli saham pada harga tinggi atau harga puncak.

Terlebih belian

Di dalam analisis teknikal terdapat istilah-istilah seperti terlebih belian dan pullback, ini menunjukkan bahawa sekiranya sesuatu harga saham itu telah naik dengan banyak, maka ia akan disusuli dengan proses penurunan.

Penurunan harga ini boleh jadi sementara waktu sebelum ia meneruskan kenaikan pada paras yang lebih tinggi ataupun ia juga boleh turun semula kepada paras yang lebih rendah sekiranya tiada sokongan atau minat belian.

Semoga dengan keterangan ini, pelabur dan pedagang saham 2019 menjadi semakin bijak dan lebih matang dalam mengharungi cabaran pasaran sepanjang tahun ini.

Selamat melabur.