Syed Kamarulzaman
Syed Kamarulzaman

Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), antara agensi berkaitan kerajaan selain Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. dan Bank Rakyat menyediakan pelbagai dana serta kemudahan pembiayaan kepada usahawan bumiputera.

Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, beberapa faktor tertentu seperti sejarah kredit peminjam yang lemah memberi kesan terhadap proses kelulusan pinjaman.

Katanya, institusi kewangan lazimnya mempunyai polisi dan kaedah dalaman tersendiri untuk mengukur skor kredit pinjaman. Bagi cadangan berdaya maju dan berpotensi, pastinya pihak bank akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Pelbagai punca penolakan permohonan pinjaman termasuk pemohon tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik, tujuan pinjaman tidak selaras dengan kemudahan dipohon dan keputusan kewangan pemohon tidak memuaskan.

“Selain itu, pemohon mempunyai pinjaman luar yang banyak sehingga mengakibatkan jumlah pinjaman lebih tinggi daripada modal dan pengendalian akaun semasa tidak memuaskan oleh pemohon juga antara sebab PKS tidak mene­rima pinjaman,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Laporan atau sejarah kredit kebiasaannya dirujuk oleh institusi kewangan melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang menyimpan data mengenai kemudahan kredit yang belum jelas termasuk jenis kemudahan kredit, had kredit, baki hutang dan rekod pembayaran.

Agensi rujukan kre­dit, Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS), manakala menyenaraikan maklumat tentang bankrap atau petisyen terhadap perseorangan dan syarikat yang sedang atau sudah bebas dari status bankrap.

Mengenai kriteria ditetapkan PNS, Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya akan menilai secara terperinci keperluan kos projek agar dana pembiayaan yang bakal diberikan digunakan sebaik-baiknya.