Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) memaklumkan, bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2019 sebanyak 51 permohonan bagi ATR diluluskan dengan satu daripadanya me­nerima kelulusan separa.

Katanya, 37.3 peratus daripada ATR yang diluluskan adalah untuk laluan domestik manakala 62.7 peratus adalah untuk laluan antarabangsa.

“Mavcom telah meluluskan sebanyak 19 laluan domestik, 22 laluan ke destinasi ASEAN, lima laluan ke China, dua laluan ke India dan tiga laluan ke destinasi Asia yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mavcom, sebanyak 36 ATR antarabangsa diberi bagi penerbangan yang berlepas da­ripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, enam ATR bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta sembilan ATR bagi la­pangan-lapangan terbang lain di Malaysia.

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menyaksikan kenaikan 38.5 ­peratus berbanding 26 ATR pada suku pertama 2019.

“Di samping itu, sejumlah 33 ATR yang sebelum ini diluluskan oleh Mavcom tidak digunakan oleh penerima ATR dan dikembalikan kepada suruhanjaya pada suku kedua 2019.

“Dalam tempoh tersebut, ­bilangan ATR tidak digunakan yang tertinggi adalah dari Kumpulan AirAsia dengan 19, diikuti Malindo Air dengan 10 manakala empat permohonan tambahan juga telah ditarik ­balik secara sukarela oleh syarikat penerbangan pada tempoh itu,” katanya.

Mavcom berkata, bagi tempoh enam bulan dari 1 Januari hingga 30 Jun 2019, pihaknya telah meluluskan 100 peratus daripada 104 permohonan kumulatif ATR yang diterima terdiri daripada 36 ATR domestik, 35 untuk destinasi ASEAN, 16 untuk destinasi di China dan baki 17 untuk destinasi Asia lain dan Australia.

“Kumpulan AirAsia juga merupakan penerima jumlah tertinggi peruntukan ATR bagi separuh pertama tahun ini, de­ngan 38 ATR,” katanya.