Pengerusinya, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, AmanahRaya kini telah berjaya membuka cawangan yang ke-20 di Sibu, Sarawak berikutan pertambahan kes dan permintaan tinggi dari masyarakat sekitar Sibu.

Katanya, pembukaan cawa­ngan itu membuktikan keprihatinan AmanahRaya kepada pelanggan dan bakal pelanggannya bukan sahaja yang ber­agama Islam malah juga bukan Islam.

“Usaha berterusan sentiasa dilaksanakan untuk membina, mengukuh dan mengekalkan jenama AmanahRaya melalui pelbagai platform seperti kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan.

“Antaranya Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) yang mana pencarum KWSP boleh melantik AmanahRaya sebagai penama kepada wang caruman mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis perasmian pada pagi ini turut dihadiri 200 tetamu terdiri daripada barisan pengu­rusan dan pegawai AmanahRaya serta pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pelanggan AmanahRaya.

Majlis tersebut disem­purnakan Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee. Yang turut hadir, Pe­ngarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Adenan Md. Yusof.

Pada masa sama, AmanahRaya turut menaja program berbentuk bual bicara iaitu Jalan Amanah dan Jalan Ama­nah LIVE di saluran Al-Hijrah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkhidmatan perancangan pewarisan melalui penulisan wasiat, peng­urusan amanah dan pentadbiran pusaka yang ditawarkan di AmanahRaya.