Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengesahkan kumpulan itu tidak akan membuka syarikat penerbangan baharu dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, selepas Vietnam, AirAsia akan memberi fokus kepada apa yang syarikat pe­nerbangan tambang murah itu miliki ketika ini.

“Kami mempunyai barisan francais yang hebat iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang mempunyai populasi besar dan merupakan ekonomi sedang pesat memba­ngun.

“Sementara itu, operasi Air­Asia India dan Jepun akan memberi sokongan kepada kumpulan dan terus berkembang,” katanya dalam hantaran terbarunya di Twitter beliau di sini hari ini.

Tony turut menzahirkan keyakinan bahawa operasi syarikat penerbangan itu di India dan Jepun akan mencatat keun­tungan pada 2021.

“Tahun ini, orang ramai akan mula melihat kekuatan AirAsia dalam digital,” katanya.

Isnin lalu, AirAsia mengumumkan untuk menghentikan kutipan caj RM3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi pihak pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB).

Keputusan itu dinyatakan oleh Tony dalam satu siaran langsung di Facebook pada hari berkenaan.

Tony berkata, AirAsia akan mengeluarkan caj berkenaan daripada harga tiket penerbangannya dari KLIA2 mulai ­minggu hadapan.

AirAsia sebelum ini me­ngenakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM50 bagi pihak MAHB di KLIA2 dalam harga tiket penerbangannya, namun enggan menaikkan jumlah itu selepas MAHB me­nyemak semula caj berkenaan kepada RM73.