A-Plus Health yang telah dilancarkan pada 2018 me­rupakan rider perubatan yang boleh ditambah kepada pelan berkaitan pelaburan berpremium lazim AIA iaitu A-LifeLink 2 dan juga A-Life Joy 2.

Ketua Pegawai Pemasaran AIA, Heng Zee Wang berkata, rider itu didatangkan dengan ciri yang pertama seumpama­nya di pasaran yang dikenali sebagai Health Wallet.

HENG ZEE WANG
HENG ZEE WANG

Katanya, bagi setiap tahun di mana pelanggan tidak membuat sebarang tuntutan daripada A-Plus Health, sejumlah amaun akan dikreditkan ke dalam Health Wallet mereka, sehingga 10 kali.

“Pelanggan boleh menggunakan jumlah terkumpul di dalam Health Wallet untuk perbelanjaan perubatan tambahan mahupun perkhidmatan pencegahan yang secara lazimnya tidak dilindungi oleh pelan perubatan seperti pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi serta perbelanjaan untuk anggota tiruan dan alat bantuan pendengaran.

“Antara lain termasuk pelan perlindung­an terhadap masalah kongenital, penja­gaan pemulihan kanser, strok dan serangan jantung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penambahan manfaat perlindungan ini merupakan sebahagian daripada komitmen AIA untuk membantu rakyat Malaysia supaya hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna dengan mengambil langkah pertama bagi membantu menangani peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental.

Satu daripada faktor yang mengekang rakyat Malaysia untuk mendapatkan bantuan profesional adalah disebabkan beban kewangan yang sering dikaitkan dengan perundingan dan rawatan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 yang dijalankan oleh Kementerian Ke­si­hatan mendapati seramai 4.2 juta rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Statistik itu menunjukkan peningkatan sebanyak dua kali ganda sejak sedekad lalu de­ngan peningkatan jumlah kes daripada 10.7 peratus pada 1996 kepada 29.2 peratus pada 2015.