Menurut Pengarah Negara Randstad Malaysia, Ryan Caroll, berdasarkan kaji selidik jangkaan bonus 2019 yang dijalankan, majikan di Malaysia merancang untuk berkongsi keuntungan dengan kakita­ngan mereka tahun ini dalam usaha meningkatkan penglibatan pekerja dan mengekalkan kakitangan masing-masing.

Katanya, 83 peratus pekerja Malaysia berharap dapat me­nerima bonus tahun ini de­ngan 60 peratus responden mengatakan mereka menjangkakan purata bonus tahunan di antara satu hingga dua bulan dan 33 peratus pekerja yang ditinjau menjangkakan bonus tahunan purata tiga hingga lima bulan.

“Ini menunjukkan jangkaan bonus para pekerja tidak sejajar dengan majikan mereka dengan ramai mengharapkan pembayaran lebih tinggi daripada apa yang mereka terima.

“Sesetengah syarikat dalam sektor perkilangan, pembinaan, hartanah dan kejuruteraan mungkin tidak akan membelanjakan bonus besar tahun ini disebabkan kelembapan ekonomi, yang akan memberi kesan langsung kepada keupayaan perniagaan untuk memperoleh keuntungan yang sihat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kaji selidik itu dijalankan Randstad Malaysia ke atas lebih daripada 160 syarikat dan 400 profesional tempatan daripada pelbagai disiplin dalam tempoh enam ­minggu dari Disember 2018 hingga Januari 2019.

Tambah Caroll, orga­nisasi juga dijangka membuat pelaburan lebih banyak dalam aktiviti bermodal besar seperti projek transformasi digital untuk terus mengatasi persaingan dan mencapai produktiviti tempat kerja yang lebih tinggi.

Katanya, keutamaan perniagaan yang berbeza menyebabkan syarikat hanya mempunyai bajet terhad untuk pembayaran bonus tahun ini.

“Melangkah ke hadapan, kami mengharapkan lebih banyak syarikat dapat memperkenalkan polisi sumber manusia yang inklusif yang akan mempromosikan ke­seimbangan kerja dan kehidupan untuk mencapai tenaga kerja mahir dan produktif.

Caroll berkata, para pekerja didapati tidak sabar-sabar untuk diberi ganjaran atas sumbangan dan kesetiaan kepada organisasi mereka bekerja terutama jika terus kekal bersama majikan di tengah-tengah perubahan politik dan transformasi projek perniagaan utama tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun 98 peratus daripada responden tinjauan bersetuju penerimaan bonus adalah penting untuk penglibatan mereka dengan syarikat itu, 59 peratus me­ngatakan ia bukan satu-satunya faktor yang akan membuat mereka mula mempertimbangkan kemungkinan untuk bertukar pekerjaan.

83%

pekerja Malaysia

berharap terima bonus

78%

majikan rancang beri

1-2 bulan bayaran bonus

21%

majikan rancang beri

3-5 bulan bayaran bonus

Siapa yang menanti bonus?

95%

pekerja perkhidmatan kewangan & perbankan,

47%

berharap bonus antara

3-5 bulan

82%

pekerja daripada sektor teknologi maklumat

74%

pekerja pembinaan, hartanah, kejuruteraan & pembuatan

SUMBER: RANSTAD MALAYSIA