Projek yang dibangunkan pemaju Super Green Technology Sdn. Bhd., dilancarkan sempena termeterainya perjanjian antara kontraktor, Prima Everway Sdn. Bhd. dengan pemilik tanah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Super Green Technology, Datuk Muhammed Abdullah berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu menyediakan rumah kepada kira-kira 3,000 penduduk negeri ini sekali gus merealisasikan impian rakyat memiliki rumah.

“Daripada kesemua unit pangsapuri berkenaan, 240 unit adalah seluas 259 meter persegi manakala selebihnya 360 unit seluas 304.8 meter persegi selain 10 unit premis komersial seluas 426.7 meter persegi.

“Setiap unit pangsapuri ber­kenaan akan dijual pada harga bawah RM250,000,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Prima Everway Sdn. Bhd., Xu Ying Mei dan pemilik tanah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Super Green Technology Sdn. Bhd., Mohd. Azmir Md. Idris.

Jelas Muhammed yang juga Undang Luak Johol Negeri Sembilan, pembinaan projek PR1MA Batu Berendam itu sepatutnya bermula dua tahun lalu namun ditangguhkan sementara kerana kontraktor dilantik menghadapi masalah kekurangan dana.

“Super Green Technology kemudian diberi kepercayaan untuk mengambil alih projek ber­kenaan untuk disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan iaitu menjelang 2020,” ujarnya.

Beliau berkata, projek PR1MA Batu Berendam menggunakan teknologi baharu pembinaan mengikut sistem binaan berindustri atau pembinaan pasang siap (IBS) yang dapat mengurangkan kos sehingga 20 peratus selain mempercepatkan tempoh pembinaannya.

“Konsep IBS ini merupakan satu proses pembinaan inovatif di mana penghasilan komponen secara di kilang dalam persekitaran terkawal dan dipasang menjadi struktur hingga siap terbina," tambahnya.