Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkembangan itu merupakan hasil perjanjian antara kerajaan Malaysia dan AirAsia yang ditandatangani hari ini.

"Bagi tujuan ini, AirAsia telah mengikat komitmen perjanjian yang merangkumi syarat dan terma bagi tempoh enam tahun.

“Dua laluan itu sebelum ini termaktub di bawah perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) bersama MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), tetapi kerajaan memutuskan statusnya ditukar kepada ko­mersial dan operasi dikendalikan AirAsia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Kerajaan Malaysia Bersama MASwings dan AirAsia di sini hari ini.

Sementara itu, Anthony memaklumkan, kerajaan juga me­meterai perjanjian bersama MASwings berhubung penerusan RAS di Sabah dan Sarawak bermula tahun ini sehingga 2024.

Katanya, berdasarkan perjanjian itu, syarikat berkenaan perlu menyediakan perkhidmatan bagi 39 laluan berbanding sebelum ini iaitu 49 laluan di Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, menerusi perjanjian baharu tersebut, mekanisme pemberian subsidi diubah daripada mekanisme berdasarkan kerugian operasi RAS dan insentif kewangan kepada terikat dengan prestasi operasi dan kewangan.

“Pada masa sama, MASwings juga akan menambah laluan bagi destinasi RAS sedia ada iaitu antara Limbang dan Kuching, Long Lellang ke Bario dan Long Seridan ke Bario.

“Selain itu, mereka juga menyediakan perkhidmatan kargo khas antara Miri dan Bario, Ba’kelalan, Long Seridan, Long Lellang, Long Akah dan Long Banga dengan penerbangan sekali seminggu bagi setiap laluan,” katanya.

Anthony berkata, penalti akan dikenakan kepada MASwings sekiranya perkhidmatan ditawarkan tidak memuaskan dan gagal mencapai tahap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Dalam masa sama, katanya kerajaan juga akan meneliti penambahan empat destinasi baharu RAS iaitu Long Pasia di Sabah, Kapit/Bukit Mabong, Belaga dan Long Silat di Sarawak dalam masa terdekat.