Ketua Pegawai Komersial Zalora, Giulio Xiloyannis berkata daripada enam pasaran disertainya, sumbangan tiga negara terbukti ketara termasuk Indonesia yang memaparkan potensi serta saiz pengguna yang ramai manakala Filipina dari segi pertumbuhan kukuh serta pelanggan yang setia.

Bagi Malaysia, beliau berkata negara ini menyediakan kelompok perusahaan kecil dan sederhana yang cemerlang dan menjadi pembekal fesyen kepada Zalora terutama gaya fesyen sederhana.

Syarikat itu juga telah bekerjasama dengan barisan pekerja berbakat di Malaysia dalam usaha mengekalkan Kuala Lumpur sebagai hab global dan serantau Zalora.

“Hab e-penunaian kami berpangkalan di Malaysia dan ini mampu melaksanakan penghantaran kepada pelanggan kami dalam tempoh 24-72 jam.

“Selain itu, kami turut mengendalikan dua gudang kecil di Jakarta dan Manila yang bekerjasama dengan jenama tempatan masing-masing dan barangan tempatan serta gudang tersebut turut ditampung oleh gudang di Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas selanjutnya, Xiloyannis berkata Zalora mengendalikan pasukan penghantaran sendiri di Malaysia, Singapura, Jakarta dan Filipina bagi memastikan pelanggan mendapat khidmat terpantas menerusi jalinan kerjasama dengan lebih 30 penyedia penghantaran pihak ketiga di rantau ini.

Beliau juga menyifatkan kewujudan Zalora telah membantu penyertaan pemain baharu hampir setiap minggu dengan majoritinya mahu menjadi pembekal kepada syarikat itu berbanding sebagai pesaing.

“Sebagai contoh, Love Bonito iaitu jenama dikenali di Singapura dan Pomelo antara penggiat label persendirian e-dagang di rantau ini yang turut ditawarkan di Zalora. Kami mengalu-alukan (penyertaan) pihak yang memudahkan lagi aspek kesalinghubungan untuk para pelanggan kami,” katanya.

Menurutnya, Zalora ditubuhkan sebagai sebuah syarikat fesyen namun di awalnya sebagai syarikat pemula niaga, perkembangan ekosistem e-dagang di Asia Tenggara pada 2012-2013 memaksa Zalora untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu selama beberapa tahun sebelum memperluaskan kapasiti sebagai sebuah syarikat e-dagang.

Ini membolehkan Zalora muncul sebagai pakar logistik, pakar prosedur atau urusan berkaitan kastam, pakar bayaran waktu serahan serta pakar data.

Keadaan persekitaran e-dagang yang kecil namun amat sengit juga memaksa Zalora untuk lebih berperanan sebagai syarikat yang mengutamakan aspek data untuk beberapa tahun lamanya.

“Ini semua demi memastikan kami cekap, tepat serta berpaksikan pelanggan dalam semua usaha yang dilakukan,” katanya.

Malah, aspek data itu terbukti mengemudi kejayaan Zalora sebagai peneraju ekosistem e-dagang fesyen di Asia Tenggara dan beralih daripada kedudukan kukuh itu ke pasaran lebih matang sejak dua tahun lepas.

Zalora juga katanya, telah banyak bertumpu kepada asas fesyen, koleksi eksklusif, kerjasama dengan kalangan pereka dan trend terkini yang menjadi teras syarikat itu.

Mengulas cabaran yang perlu dilalui Zalora selaku penggiat pasaran e-dagang, Xiloyannis berkata ia memerlukan sesebuah syarikat itu untuk menjadi pakar serba-serbi - pakar fesyen, perkhidmatan pelanggan, pengurusan bayaran, rantaian bekalan dan logistik selain aspek pemasaran, pengurusan data serta gudang simpanan.

“Sudah semestinya cabaran itu banyak, tetapi dalam mana-mana industri pun, perkara inilah yang menjadikan kerja ini menarik dan menjadi batu loncatan dari segi pembelajaran yang jelas sehinggalah kerjaya yang kukuh.

“Oleh itu, kami sedang berusaha iaitu pertamanya membabitkan aspek pengambilan pekerja yang pantas serta cekap dan menjadi teras pertumbuhan industri seperti e-dagang. Perkara kedua adalah menumpukan usaha penghantaran produk lebih pantas kepada pelanggan dengan Malaysia sebagai hab operasi,” katanya.

Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Zalora telah melancarkan hampir 100 jenama baharu dan menjalin kerjasama dengan 50 pereka.

Syarikat itu kini dalam proses membina dua gudang baharu, mengambil pekerja baharu serta mengembangkan operasi di semua negara, khususnya Malaysia yang menempatkan sebahagian besar pasukannya.

Menurutnya, para pelanggan akan dapat menyaksikan kesinambungan aliran produk-produk baharu seperti Foverer21, Neelofar serta buah tangan dihasilkan ikon fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim.

Mengulas kunci kejayaan Zalora, Xiloyannis berkata ini menitikberatkan aspek sentiasa jujur kepada pelanggan dengan menawarkan produk terkini serta pengalaman terbaik dari segi harga sehinggalah aspek penghantaran dan pengembalian produk.

“Kami adalah syarikat fesyen yang juga pakar data demi memberi khidmat terbaik kepada pelanggan dalam rantau yang serba kompleks. Namun, inilah yang menjadi kebanggaan kami,” katanya. - BERNAMA