Ketua Pegawai Operasinya, Wan Hasmar Azim Wan Hassan memberitahu, sijil yang dianugerahkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sekali gus memberi semangat kepada syarikat itu untuk terus meningkatkan produktiviti.

“Sebagaimana sedia maklum, keutamaan kami adalah daripada soal keselamatan dan keselesaan pelanggan dari pangkalan ke pelantar minyak masing-masing.

“Melalui pensijilan ini akan dapat memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang digubal sebelum ini dapat diterapkan dengan cara yang betul, sekali gus meningkatkan lagi tahap keselamatan dan produktiviti syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil itu di Hangar Weststar Aviation, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Operasi Domestik Weststar Aviation Services, Datuk Jamil Osman; Timbalan Ketua Pengarah MPC, Ab. Rahim Yusoff dan Pengurus Pangkalan OS2 Weststar Aviation Services, Mohd. Fathi Bahador.

Terdahulu, Wan Hasmar Azim menerima sijil tersebut bagi mewakili pangkalan syarikat itu di Pengkalan Chepa daripada Ab. Rahim.

Mengulas lanjut, Wan Hazmar berkata, pihaknya menyasarkan empat pangkalannya di seluruh negara menerima sijil itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya, setakat ini, hanya pangkalan di Pengkalan Chepa menerima sijil tersebut sejak langkah ke arah mendapatkan pensijilan itu mula diambil pada April tahun lalu.