Pengenalan warna baharu tersebut bagi menggantikan Carnival Red untuk Jazz, Dark Ruby Red (City) serta Obsidian Blue Pearl (CR-V).

Passion Red Pearl hanya untuk varian petrol bagi Jazz dan City.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, berdasarkan prestasi jualan warna Passion Red Pearl mendapat maklum balas yang baik daripada pasaran apabila ia diperkenalkan pertama kali untuk HR-V pada Januari tahun ini.

“Sejak itu, warna baharu ini terbukti menjadi pilihan pe­langgan Honda dengan 30 peratus jualan HR-V baharu melibatkan warna berkenaan.

“Dengan warna baharu ini Jazz akan menampilkan personaliti yang lebih muda sementara City kelihatan lebih bertenaga dan CR-V lebih bergaya. Kami percaya ketiga-tiga model popular ini kelihatan sesuai dengan Passion Red Pearl bagi melengkapi gaya hidup serba boleh pemiliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ishiyama berkata, Jazz, City dan CR-V menyumbang sebanyak 62 pe­ratus kepada jumlah jualan ke­seluruhan untuk Honda Malaysia bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Katanya, City mencatatkan sumbangan tertinggi dengan 34 peratus diikuti CR-V sebanyak 15 peratus dan Jazz (12 peratus).

“Honda Malaysia menjual 28,000 buah kenderaan pada Januari hingga April 2019 de­ngan perkongsian pasaran sebanyak 15 peratus.

“Hasilnya, Honda Malaysia mengekalkan kedudukan peneraju bagi jenama bukan nasional dan nombor dua bagi jumlah keseluruhan industri (TIV),” ujarnya.