Dr Wan Azizah, yang kini berada di Bangkok bagi melakukan lawatan rasmi sulungnya ke Thailand, secara maya melancarkan loji baharu itu yang terletak di wilayah Rayong, kira-kira dua jam perjalanan darat dari ibu negara ini.


Presiden dan Ketua Eksekutif Ranhill Tan Sri Hamdan Mohamad berkata projek bina-operasi-pemindahan (BOT) itu membabitkan konsesi 20 tahun yang ditandatangani antara anak syarikat Ranhill, AnuRAK Water Treatment Facilities Co Ltd dan Amata Water Co Ltd pada Mac tahun lepas.


Menerusi perluasan projek loji itu, jumlah pelaburan kumpulan dalam air, air sisa dan rawatan pemulihgunaan air di Thailand meningkat kepada 992 juta baht (RM129.59 juta) dan berupaya menjana lebih 4.1 bilion baht (RM535.62 juta) bagi jualan air sepanjang tempoh konsesi itu.


Dengan siapnya projek ini, Ranhill kini mempunyai dua loji rawatan air di Thailand dengan kapasiti 17 mld termasuk satu lagi fasiliti 'bina dan operasi' 10 mld di Amata City Chonburi (sebelum ini dikenali sebagai Amata Nakorn), yang telahpun beroperasi sejak 2008. 


Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, Hamdan berkata pemulihgunaan air merupakan komponen yang semakin penting bagi pengembangan perniagaan kumpulan itu di luar negara. dengan air dipulih guna atau dikitar semula sebagai sumber air alternatif dapat memenuhi permintaan perindustrian secara efisien berikutan jumlah pelepasan air sisa semakin meningkat.


"Kami melihat terdapat prospek besar di Thailand terutamanya dengan kerajaan Thailand kini fokus untuk mengawal selia sektor air.


"Pertumbuhan berterusan dijangkakan dalam projek-projek perindustrian di kawasan Pinggir Laut Timur yang dilihat oleh Bank Dunia sebagai satu daripada tapak paling berjaya untuk pembangunan perindustrian secara besar-besaran," katanya.


Jumlah agregat kapasiti rawatan air Ranhill di Thailand kini sebanyak 114 mld daripada 10 loji rawatan air, rawatan air sisa dan pemulihgunaan air yang beroperasi di beberapa kawasan perindustrian Amata.


Hamdan berkata, kumpulan menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti kami di Thailand kepada 174 mld menjelang 2022 dengan memperoleh lebih banyak projek air dan air sisa daripada kawasan perindustrian utama seperti Amata.


Kawasan Perindustrian Amata City Rayong dan Amata City Chonburi merangkumi kawasan perindustrian utama seluas lebih 7,033 hektar, menjadikan Amata satu daripada pemaju perindustrian terbesar di Thailand.


"Kami berazam untuk memperkukuh kedudukan kami di peringkat antarabangsa bagi jangka panjang, dengan Thailand sebagai satu daripada dua pasaran utama, bersama-sama China," katanya. 


Pada lawatan itu, Dr Wan Azizah diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub; Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.


Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengarah Urusan Amata Water Co Ltd Chuchat Saitin.


Ranhill ialah syarikat konglomerat Malaysia dengan kepentingan dalam sektor alam sekitar dan tenaga, dan menawarkan perkhidmatan bekalan air, mengendalikan operasi loji rawatan air dan air sisa, dan menawarkan perkhidmatan khusus dalam pengurusan dan pengoptimuman aset utiliti air. - BERNAMA