Janganlah marah. Bukan apa, semasa ambil Z900RS Cafe ini di ibu pejabat Kawasaki Motors (M) Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor untuk ditunggang uji baru-baru ini, sekilas tengok, macam motosikal dalam filem Azura yang popular pada 1980-an. Tiba-tiba throw back cinta monyet zaman sekolah!

Terbit perasaan sedemikian sebenarnya tidak menghairankan kerana bagi yang lahir pada 1960-an dan 1970-an, mereka mungkin biasa melihat model sedemikian semasa zaman kanak-kanak dan remaja.

Jentera ini adalah model sama dengan Z900RS. Cuma diberikan gaya baharu antaranya fairing pada lampu utama, humped seat dan bar hendal selain warna klasik Kawasaki, lime green dengan grafik belang putih selain garis hijau pada rim.

Video oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN

Gaya retro tersebut ternyata menarik perhatian ramai. Memang ramai bikers yang datang dekat membelek sambil memuji penampilan Z900RS Cafe. Apatah lagi dengan deruman ekzos yang garang meskipun standard.

Walau bagaimanapun, jangan­ ambil mudah. Meskipun nampak klasik, kuasa enjin empat lejang 948 cc yang dipasang padanya bukan bermakna jentera ini ‘kuda tua’. Bagi saya yang tidak biasa dengan enjin in line-4, agak terkejut semasa memulas pendikit dalam gear satu. Kuasa terjahannya cukup sebagai amaran bahawa saya tidak boleh main-main dengan jentera ini.

Saya dapat merasakan kehebatan kuasa enjinnya di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dari ibu negara menuju Janda Baik, Pahang. Dengan kuasa maksimum 82.0 kilowatt (kW) pada 8,500 rpm dan daya kilas maksimum 98.5 meter Newton (Nm) pada 6,500 rpm, ia umpama raja di lebuh raya. Cukup lancar dan meyakinkan dalam kelajuan tinggi. Bentuk fairing yang saya tidak berkenan rupa-rupanya cukup membantu.

Tundukkan sedikit kepala sambil berlindung di belakangnya, tamparan angin dari depan dapat dielakkan sekali gus membuatkan tidak terasa motosikal ini sedang ditunggang laju. Apatah lagi tempat duduk mirip motosikal lumba klasik, tambah menaikkan semangat. Acah-acah perlumbaan Isle of Man TT!

Rakan-rakan bikers saya yang ikut berkonvoi kata, dari jauh sudah boleh nampak kehadiran Z900RS Cafe dengan adanya lampu depan diod pemancar cahaya (LED).

Menyusuri laluan kecil berselekoh di Janda Baik juga tiada masalah buat Z900RS Cafe. Dengan panjang 2,100 milimeter (mm), lebar 845 mm dan tinggi 1,190 mm, jentera ini masih mudah dikendalikan pada kelajuan sederhana.

Cuma ketika menguji di Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat yang berselekoh pendek dan tajam, dengan berat 215 kilogram (kg), agak membebankan buat saya. Mungkin belum serasi. Yalah, tidak sampai 24 jam duduk di atas jentera ini.

Di dalam bandar, tiada masalah untuk mencelah deretan kenderaan semasa kesesakan lalu lintas.

Walau bagaimanapun, ke­dudukan hendal bar jenis drop-style membuatkan lengan saya rasa sedikit lenguh keesokannya selepas separuh hari menunggang uji.

Terdapat dua mod tunggangan iaitu Kawasaki Traction Control (Ktrc) 1 untuk lebih agresif dan Ktrc 2 bagi jalan basah semasa hujan. Kedua-dua mod ini juga boleh dimatikan.

Ditawarkan pada harga RM72,372 (termasuk cukai jualan) dengan warna hijau (lime green), Z900RS Cafe sesuai untuk kegunaan harian sambil ride dengan rakan-rakan pada hujung minggu dan sesekali berkonvoi jarak jauh.

ENJIN

Sesaran: 948 cc, DOHC, 16 injap, 6-kelajuan, Penyejukan cecair

Jenis: 4-lejang (In-Line Four)

Bor & Lejang: 73.4 x 56.0 mm

Kuasa maksimum 82.0 kW @ 8,500 rpm

Daya kilas maksimum 98.5 Nm @ 6,500 rpm

Nisbah mampatan: 10.8:1

BREK

Sistem brek antikekunci (ABS)

Depan: Berkembar 300 mm cakera Dual semi-floating 300 mm petal discs

Belakang: Tunggal 250 mm cakera

DIMENSI

Panjang x Lebar x Tinggi: 2,100 x 845 x 1,190 mm

Jarak roda: 1,470 mm

Kelegaan lantai: 130 mm

Tinggi tempat duduk: 820 mm

Berat: 215 kg

TANGKI BAHAN API: 17 liter

HARGA: RM72,372