CILIK, LINCAH

Sememangnya skuter Honda ini amat sesuai digunakan sebagai pengangkutan harian dalam bandar. Bentuknya yang cilik dengan panjang 1,919 milimeter (mm), lebar 679 mm dan tinggi 1,062 mm, ia cukup lincah mencilok dan mencelah deretan kenderaan.

Dipasang enjin satu silinder 149.30 cc, suntikan bahan api (PGM-FI) dengan kuasa maksimum 9.67 kW pada 8,500 rpm dan daya kilas maksimum 13.4 Nm pada 5,000 rpm, memanglah tidak laju buat kaki pecut. Namun begitu, sudah memadai untuk membolehkan jentera ini sering di depan mendahului kenderaan-kenderaan lain sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau.


Video Oleh ZABRY MOHAMAD MAZDLAN

Selain itu, suspensi depan jenis teleskopik dan belakang menggunakan swing arm dengan suspensi tunggal juga bertindak baik ketika di selekoh. Boleh jugalah acah-acah ‘meleper’!

JIMAT

Jentera ini tidak banyak kerenah. Pulas sahaja pendikit, ia meluncur tangkas. Bak kata orang Pulau Mutiara, sempoi! Dengan sistem idling stop, enjin akan mati secara automatik setiap kali berhenti termasuk di simpang jalan atau lampu isyarat merah dan hidup semula apabila pendikit dipulas, pas­tinya menjimatkan penggunaan petrol.

PRAKTIKAL

Vario 150 cukup praktikal. Ada ruang penyimpanan di bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter yang boleh dimuatkan topi keledar dan barangan peribadi lain seperti baju hujan dan sarung tangan.

Tidak cukup ruang simpanan, ada dua rak di depan penunggang untuk mengisi barangan seperti minuman, kunci atau bungkusan kecil. Justeru, tidak perlu dipasang bakul jika mahu lebih selesa semasa menunggang atau mengekalkan gaya sporty.

Dari segi casis, jentera ini sesuai untuk semua jenis penunggang termasuk wanita dan remaja berikutan ketinggian tempat duduknya ha­nya 769 mm manakala berat (tangki penuh) 112 kilogram (kg). Senang untuk dikendalikan dan dikawal.

SISTEM KESELAMATAN

Kes kecurian motosikal yang sering berlaku pastinya merisaukan pemilik motosikal tidak kiralah kapcai atau superbike. Dilengkapi ciri-ciri keselamatan moden sudah tentu melegakan pemilik Vario 150. Skuter ini dipasang sistem penggera antikecurian, maka dapatlah pemiliknya tidur nyenyak ketika di rumah dan semasa di tempat kerja pula, bolehlah menumpukan sepenuhnya kepada tugas.

Selain itu, jika terlupa lokasi parkir di kawasan luas yang dipenuhi kenderaan, terdapat fungsi jawab kembali untuk memboleh­kan mengesan kedudukannya.

Suis penghidup pintar pula tidak memerlukan kunci. Tidak lagi perlu panik atau pening kepala jika kehilangan kunci atau terlupa mana kunci disimpan.

LAIN DARIPADA YANG LAIN

Pada pandangan penulis, hampir semua ciri dimiliki Vario 150 juga terdapat pada skuter lain yang pernah ditunggang uji sebelum ini. Namun paling ketara yang membezakan dengan pesaing-pesaingnya adalah lampu depan dwi-LED (diod pemancar cahaya) termasuk lampu siang yang memberikan cahaya cukup terang.

Ketika mahu pulang ke rumah selepas habis bertugas pada waktu malam, cahayanya amat membantu semasa melalui kawasan gelap. Lampu belakang dan lampu signal juga daripada jenis LED sekali gus memboleh­kan pemandu kenderaan lain melihat dengan jelas dari jauh.

Dengan keistimewaan sedemikian, skuter ini pastinya meyakinkan untuk ditunggang dalam pelbagai keadaan, tidak kiralah hujan atau jalan kampung. Redah sahajalah selagi yakin.

Selain itu, panel meter paparan cecair kristal (LCD) digital turut memudahkan pe­nunggang melihat maklumat berkaitan yang diperlukan.

WARNA MENARIK, HARGA MAMPU MILIK

Terdapat empat warna menarik sebagai pilihan iaitu Force Silver Metallic (perak), Pearl Nightfall Blue (biru), Pearl Magellanic Black (hitam) dan Edisi Repsol.

Harga ditawarkan amat berpatutan iaitu RM7,199 manakala Edisi Repsol RM7,399.

 

SPESIFIKASI VARIO 150

ENJIN:

• Satu silinder, penyejuk cecair, SOHC, 4-lejang, 2 injap

• Sesaran 149.30 cc

• Gerek & Lejang 57.3 mm X 57.907 mm

• Nisbah mampatan 10.6:1

• Kuasa maksimum 9.67 kW (13.1 PS)/8,500 rpm

• Daya kilas maksimum 13.4 Nm (1.37 kgf.m) / 5,000 rpm

SISTEM BAHAN API:

• Suntikan bahan api PGM-FI

• Muatan tangki petrol 5.5 liter

SISTEM PENGHIDUP:

• Elektrik

• Kapasiti bateri 5.0 A.h

• Keluaran ACG 12V

TRANSMISI KUASA:

• Klac automatik emparan jenis kering

• Transmisi auto V-Matic

CASIS

• Bentuk kerangka Underbone

• Dimensi (PxLxT) 1,919 mm X 679 mm X 1,062 mm

• Jarak roda 1,280 mm

• Ketinggian tempat duduk 769 mm

• Kelegaan lantai 132 mm

• Berat (tangki penuh) 
112 kg

SUSPENSI, RODA & BREK:

• Suspensi - Depan teleskopik

• Belakang swing arm 
dengan suspensi tunggal

Saiz Rim 
 - Depan 14 M/C x MT1.85

- Belakang 14 M/C x MT2.50

• Ukuran Tayar - Depan 90/80-14M/C 43P

- Belakang100/80-14M/C 48P

• Jenis Brek - Depan cakera hidraulik

- Belakang mekanikal dram