Video oleh MUHAMMAD HASIF IDRIS

Ketua Unit Perancangan Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Daut berkata, kerja-kerja asas berjalan mengikut ja­dual yang ditetapkan iaitu melibatkan reka bentuk dan kerja awalan fasa satu dan dua.

“Ini termasuklah pembinaan kem induk, kem satelit dan laluan masuk ke kawasan pembinaan. Malah, hampir kesemua kem-kem induk ECRL telah siap dibina iaitu di Tunjong, Kelantan, Kg. Raja, Kuala Nerus, Dungun, Kemaman (Terengganu), Mentakab dan Bentong (Pahang).

“Selain itu, segala arahan yang ditetapkan oleh Jabatan Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan pihak berkuasa tempatan dipatuhi oleh China Communications Construction Company (CCCC) selaku kontraktor utama yang bertanggungjawab terhadap pembinaan landasan, pemasangan sistem dan aspek kejuruteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan laporan terkini projek ECRL sebelum meng­iringi media yang hadir melawat tapak projek berkenaan di Tunjong, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nizam berkata, projek berkenaan juga melibatkan pembinaan 44 tero­wong di sepanjang 39.1 km.

“Sebanyak 39 terowong akan dibina di Pahang, tiga di Terengganu dan dua di Selangor yang bertujuan mengurangkan kerja-kerja mengorek tanah sekali gus mengurangkan impak kepada alam sekitar serta memelihara ha­bitat hutan.

“Malah, laluan ECRL dibina pada landasan yang ditinggikan untuk mengelak kawasan banjir dan sungai .

“Oleh itu, sebanyak 147 jamba­tan sejauh 128 km akan dibina khususnya di Kelantan dan Terengganu,” jelasnya.

Tambah Mohd. Nizam, pembinaan laluan ECRL dari Pengkalan Kubor (Kelantan) hingga ke Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) melibatkan 2,700 tenaga pekerja dalam pelbagai bidang.

“Kita jangka pada April ini kerja-kerja fizikal dapat dilaksanakan di 46 lokasi yang sudah dikenal pasti dan bergantung pada proses pengambilan tanah orang awam di sepanjang jajaran rel selesai diuruskan,” ujarnya.