Apakah faktor yang menyumbang kepada kejayaan Iskandar Malaysia selama ini?

Iskandar Malaysia sudah mencapai usia 13 tahun dan dalam tempoh itu menyaksikan tahap pembangunan yang sihat.

Antara penyumbang utama kejayaan ini termasuklah usaha secara berterusan untuk memastikan wilayah ini dibangunkan berdasarkan kepada infrastruktur dan sistem perhubungan yang baik sekali gus menawarkan kawasan ini sebagai satu lokasi yang menarik minat pelabur tempatan dan luar negara.

Kedua, sokongan padu kerajaan Pusat dan negeri menjadikan ia sebagai wilayah ekonomi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

 

Lokasi Iskandar Malaysia juga penting kerana selain kedudukan geografi yang unik di antara dua benua yang melalui proses kepesatan pembangunan ekonomi, wilayah ini juga menyediakan logistik lengkap menerusi pelabuhan laut, udara dan darat.

Kita juga mempunyai rangkaian sistem penyampaian yang efektif supaya bakal pelabur memperoleh kelulusan pelaburan dengan sokongan seagensi terlibat dan menawarkan tenaga kerja yang memenuhi kriteria syarikat pelabur.

Kejayaan dan pencapaian Iskandar Malaysia membolehkan jajaran wilayah itu diperluaskan. Apakah potensi pelaburan baharu yang boleh dijadikan model dalam menjayakan usaha ini?

Kawasan baharu itu membolehkan kita memperhebatkan usaha membangunkan sektor ekonomi sama ada berdasarkan sembilan sektor ekonomi sedia ada atau baharu.

Antara yang akan diper­kenalkan adalah dalam bidang pertanian moden melibatkan dua aspek iaitu teknologi pertanian dan makanan dengan memperkenalkan pengurusan lebih efisien berdasarkan sistem pembekalan dan pemasaran.

Teknologi pertanian melibatkan inovasi penyelidikan untuk mewujudkan rangkaian yang sistematik bagi mencapai tahap kecekapan dalam usaha menyediakan produk berasaskan pertanian moden manakala teknologi makanan pula khusus kepada produk di peringkat hiliran.

Pertanian moden bukan baharu tetapi kesinambungan yang berlaku di peringkat global. Negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand sudah berada jauh di hadapan dalam pertanian moden. Ia bukan sahaja menampung keperluan rakyat tetapi memasarkan produk pertanian ke serata dunia.

Boleh perincikan potensi pelaburan di kawasan jajaran baharu Iskandar Malaysia di Kota Tinggi, Kluang dan Pontian?

Dalam perluasan Iskandar Malaysia buat pertama kali kita akan mengambil sebahagian daripada daerah Kota Tinggi melibatkan kawasan di Pengerang dan Desaru manakala di sebelah utara pula membabitkan sebahagian daripada daerah Kluang khususnya Simpang Renggam dan Renggam. Di bahagian barat pula mengambil beberapa lagi mukim dalam daerah Pontian selain daripada mukim-mukim sedia ada dalam wilayah pembangunan Iskandar.

Sebagai contoh, bagi daerah Kota Tinggi, pengkhususannya sudah tentu dalam sektor ­minyak dan gas, petrokimia dan oleokimia. Kita turut memberi tumpuan kepada pelancongan dengan kedua-dua sektor merupakan bidang ekonomi yang digalakkan di Iskandar Malaysia.

Kita percaya pengumuman perluasan kawasan dan sektor baharu di Iskandar Malaysia dapat menarik syarikat yang sudah lama dalam bidang pemasaran moden seperti Singapura, Thailand, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. Mereka bukan sahaja berminat menjalankan perniagaan di sini tetapi ingin mendekati pengguna. Jika mereka bertempat di sini sudah tentu apa yang diusahakan akan dapat dipasarkan kepada 650 juta pengguna di ASEAN.


Adakah unjuran pelaburan di Iskandar Malaysia termasuk sasaran tahunan akan berubah dengan perluasan kawasan ini?

Ya, sudah tentu kita akan melihat semula angka-angka yang disasarkan. Kita harus i­ngat kawasan baharu di bawah wilayah pembangunan itu tidak mempunyai karakter sama ­se­perti kawasan sebelum ini.

Jumlah penduduknya juga tidak seramai seperti di Iskandar Malaysia sedia ada ­kerana rata-rata kawasan baharu wilayah itu masih lagi dikategorikan sebagai separa luar bandar dan luar bandar. Itu sebabnya kita harus memberi keutamaan kepada sektor ekonomi yang lebih sesuai dengan kawasan membabitkan sebahagian tiga daerah terlibat itu.

Mengenai sasaran pelaburan, pihak IRDA akan membuat unjuran dan kiraan semula dan sudah tentu jumlah RM383 bilion yang disasarkan menjelang 2025 perlu dilihat semula.

Sasaran tahunan Iskandar Malaysia sekarang tidak terma­suk kawasan baharu adalah sekitar RM30 bilion tahun ini.

Kalau ditanya pada saya, sasaran pelaburan tahunan yang baharu di Iskandar Malaysia seharusnya tidak kurang daripada RM40 bilion termasuk kawasan jajaran baharu bagi 2019.

Menyifatkan Iskandar Malaysia mencapai tahap pembangunan yang amat sihat, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), DATUK ISMAIL IBRAHIM berkongsi aspirasinya kepada Wartawan Utusan Malaysia, NURUL HUDA HASSAN dan jurugambar NUR AISYAH MAZLAN.

Apakah harapan Datuk kepada Iskandar Malaysia dengan perluasan kawasan wilayah pembangunan itu?

Perluasan Iskandar Malaysia mencerminkan pengiktirafan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bahawa Iskandar Malaysia terbukti merancakkan pembangunan dan menepati hasrat negara untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai wilayah berpendapatan tinggi, maju dan menyokong visi serta aspirasi Johor dan Malaysia.

Kami berharap Iskandar Malaysia dapat dibangunkan de­ngan sokongan semua pihak bukan sahaja kerajaan tetapi juga pihak swasta dan rakyat kerana pada akhirnya, yang mengukur kejayaan wilayah ini adalah bagaimana rakyat secara keseluruhannya mendapat manfaat daripada pembangunan yang dikecapi di Iskandar Malaysia.