Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ng Chai Eng berkata, syarikat itu yakin dapat memulakan episod baharu perjalanan korporat tersebut sejurus melancarkan prospektus syarikat itu kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Kami merancang untuk memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai penggiat utama segmen fabrikasi kepingan logam di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan mengendalikan lebih banyak projek yang besar dan kompleks,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

UWC secara asasnya terbabit dalam pembekalan fabrikasi kepingan logam dan khidmat nilai tambah serta membekalkan komponen mesin berkaitan.

Bersempena tawaran awam permulaan (IPO) itu, UWC memeterai perjanjian penajaan jamin dengan Hong Leong Investment Bank (HLIB) hari ini.

UWC diwakili oleh Ng manakala HLIB diwakili oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Jim Leng dan disaksikan oleh Pengarah Eksekutif UWC, CK Lau.

IPO itu membabitkan terbitan awam sebanyak 70 juta saham baharu yang mewakili 19.1 peratus daripada penambahan modal saham sebanyak 366.8 juta apabila disenaraikan dan tawaran jualan 33.02 juta saham-saham sedia ada UWC (yang mewakili sembilan peratus daripada penambahan modal saham syarikat).

HLIB merupakan penasihat prinsipal, ejen penempatan dan penaja jamin sebanyak 23 juta saham terbitan awam (6.27 peratus daripada penambahan modal saham) yang akan ditawarkan menerusi permohonan oleh rakyat tempatan. - BERNAMA