Meskipun mene­rima hakikat itu, namun para pendeposit berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat fokus dalam mengurus dan memperkasakan Tabung Haji.

Bagi mereka, Tabung Haji adalah satu-satunya institusi yang umat Islam ada dan boleh bergantung harap.

Seorang pendeposit, Ruse­lee Izan, 62, dari Sungai Baru berkata, dia tidak menduga hibah tahun ini cu­kup rendah, sekali gus mengecewakannya.

Dia yang dijang­ka dapat menu­naikan haji tahun depan berkata, adalah tidak adil menjadikan punca kegagalan pengurusan terdahulu sebagai alasan kerana sebelum ini pendeposit menerima dividen yang memuaskan.

‘‘Orang Islam mena­ruh harapan yang tinggi terhadap Tabung Haji, jangan kecewakan kami di saat kepenti­ngan orang Melayu dan Islam dilihat mula diping­girkan sedikit demi sedikit ketika ini,’’ katanya di sini hari ini.

Seorang petani, Razali Saad, 54, berkata, sekiranya situasi ini berterusan tidak mustahil pendeposit khususnya yang telah menunaikan haji mengeluarkan wang simpanan ma­­ sing-masing kerana hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut.

‘‘Kita juga berharap kerajaan PH berhenti menu­ding jari terhadap kerajaan terdahulu yang tidak boleh lagi diterima oleh pendeposit yang sebelum ini menikmati kemudahan dan hibah yang tinggi,’’ katanya.

Seorang pesara kerajaan, Rosli Mahmood, 68, pula berkata, dia sudah menjangka perolehan hibah yang rendah tahun ini tetapi tidaklah serendah yang diumumkan.

‘‘Melihat kepada perkembangan ini, tidak mustahil subsidi menunaikan haji akan turut ditamatkan selepas ini. Mereka yang menyimpan ini bukan orang senang, ada petani, penoreh yang bertungkus lumus mencari duit untuk dilaburkan di Tabung Haji. Apabila hibah yang diberikan terlalu rendah, ia cukup menghampakan,’’ katanya.

Seorang warga emas, Halijah Mahmod, 76, pula berharap pengurusan Tabung Haji yang baharu dapat melaksanakan tugas dengan baik kerana institusi tersebut adalah kebanggaan orang Melayu Islam di negara ini.