Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama berkata, kempen akan bermula dengan acara mengumpul dana menerusi acara fun run yang mana kutipannya akan disalurkan kepada program Kecergasan dan Senaman bersama Orang Kelainan Upaya yang dianjurkan MPC.

“Dana yang diperoleh akan digunakan untuk melengkapkan jurulatih atlet para di sekitar Lembah Klang dengan kemahiran untuk melatih kanak-kanak kelainan upaya.

“Kami percaya ini akan menjadi satu usaha mapan untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya dan membantu mereka mencapai impian mereka dalam bidang sukan,” kata beliau pada satu taklimat media di sini baru-baru ini.

Kempen itu turut melantik juara paralimpik kebangsaan, Abdul Latif Romly sebagai duta, yang turut hadir pada majlis itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata, beliau kini dalam minggu pertama latihan selepas memenangi Kejohanan Olahraga Tertutup 2019 bagi acara lompat jauh pada 18 Ogos lalu, yang menyaksikan beliau mengalahkan atlet-atlet normal. – BERNAMA