Bagi mengelakkan perkara itu berlaku, pihak atau agensi luar yang mempunyai kepakaran dan tidak mempunyai konflik kepentingan diperlukan untuk membantu dan peranan itu boleh dimainkan oleh Ama­nah Raya Berhad (AmanahRaya).

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Adenan Md. Yusoff berkata, agensi itu berpe­ngalaman lebih 100 tahun dalam menguruskan pembahagian harta pusaka.

ADENAN MD. YUSOFF
ADENAN MD. YUSOFF 

Beliau pada masa sama menjelaskan, orang ramai tidak perlu ragu-ragu dengan perkhidmatan yang disediakan AmanahRaya kerana agensi itu telah terbukti menguruskan pembahagian harta pusaka dengan amanah.

“Banyak kita lihat ahli keluarga bertelagah sesama sendiri hanya kerana pembahagian harta pusaka dan kes yang terbaru di Port Dickson, me­ninggal akibat sawan setelah bergaduh dengan abang sendiri, bagi mengelakkan perkara se­perti ini jelaslah peranan kami untuk membantu mentadbir pembahagian harta pusaka de­ngan lebih adil dan telus.”

“Pengurusan pentadbiran harta pusaka di AmanahRaya tidak mengambil masa yang panjang, hanya memerlukan masa dalam tiga ke enam bulan selain yuran perkhidmatan tidak melebihi RM150 sahaja bagi pengurusan harta bawah RM5,000 kerana kami di AmanahRaya amat komited untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan pembahagian harta,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Apabila diminta mengulas mengenai kelulusan Majlis Ta­nah Negara terhadap cadangan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98), Adenan berharap agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji kertas cadangan me­ngenai pindaan tersebut sebelum dibentang di Parlimen.

Tegas beliau, penubuhan jawatankuasa itu perlu bagi memastikan hala tuju semua agensi yang terlibat dalam industri pentadbiran pusaka.

“Pindaan tersebut, kata beliau lagi, tidak menyelesaikan masalah yang selalu berlaku seperti harta tidak ditadbir oleh individu dengan sebaiknya, kes pecah amanah dan pentadbir gagal melaksanakan pembahagian pusaka sehingga berlaku kematian waris atau kita panggil sebagai kematian berlapis. Lihat sahaja apa yang berlaku di Kampung Baru, banyak tanah di situ tidak di pindah milik lagi.

“Mengapa? Kerana hal-hal seperti inilah. Saya difahamkan, menerusi statistik dikeluarkan jabatan tanah sendiri terdapat RM60 bilion harta pusaka tidak di pindah milik lagi,” jelas beliau.

Beliau menambah, Ama­nahRaya berperanan membantu melicinkan pengurusan pentadbiran harta pusaka dan tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama apabila berlaku pertikaian berkaitan pembahagian harta pusaka dalam kalangan waris. Bahkan AmanahRaya se­ringkali bertindak sebagai peng­antara dalam menyelesaikan pertelingkahan waris-waris berpandukan undang-undang yang terpakai di Malaysia.

Dalam hal ini juga, AmanahRaya mempunyai kuasa untuk melakukan pentadbiran terus bagi membendung isu pertikai­an berkenaan dan seterusnya menyelesaikan pembahagian pusaka dengan cepat.

“Bayangkan jika waris atau seorang individu dilantik sebagai pentadbir, apakah jaminan bahawa harta tersebut akan dibahagikan kepada waris-waris lain yang berhak, mengikut pembahagian yang sepatutnya, sedangkan proses pembahagian pusaka tidak selesai sekadar lantikan pentadbir? Pentadbir perlu melangsaikan hutang si mati dan melaksanakan pembahagian. Kita haruslah memikirkan kepentingan harta tersebut untuk pihak lain seperti anak bawah umur terutama sekali jika anak itu golongan istimewa,” ujarnya.