Walau bagaimanapun, sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau dan motosikal kembali bergerak, jadi lain pula. Lupa terus ‘seksa’ tadi sebaliknya bertukar seronok.

Ya, meskipun sebuah jentera sport touring, Tracer 900 GT akan memastikan hampir setiap tunggangan menyeronokkan. Tidak seperti motosikal touring yang pernah saya tunggang uji sebelum ini, posisi penunggang tidaklah terlalu tegak tetapi sedikit ‘menggelongsor’, seolah-olah bersiap sedia untuk bertindak agresif pada bila-bila masa. Posisi tunggangan sebegini mengingatkan saya kepada model MT-09. Kedudukan tempat letak kaki menjadikan paha berada dalam keadaan selesa, tidak memenatkan bagi perjalanan jauh dan senang mengalihkan punggung ke kiri-kanan semasa mengambil selekoh. Namun tidak seperti MT-09, melayan Tracer 900 GT di selekoh-selekoh panjang di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak membuatkan saya rasa sedikit tidak selesa. Mungkin tidak biasa dengan kedudukan tunggangan yang tinggi menjadikan saya ‘gayat’.

Tetapi berbeza semasa mendaki dan menuruni Awana, Genting Highlands. Dipasang fork teleskopik terbalik 137 mm dan lengan ayun lebih panjang di belakang, terasa cukup meyakinkan di selekoh-selekoh pendek di kawasan tanah tinggi itu. Adanya assist & slipper clutch membolehkan jentera ini memasuki selekoh dengan lebih agresif tanpa perlu risau tayar belakang ‘membuai’ sekiranya menukar gear rendah secara tiba-tiba dalam keadaan laju.

Begitu juga adanya sistem quick shift yang mana tidak perlu menarik klac untuk menambah kelajuan gear, menjadikan jentera ini bertindak balas lebih pantas semasa keluar dari selekoh. Untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain yang tidak jauh, sistem ini juga banyak membantu sekali gus menjadikan perjalanan lebih lancar.

Rumah terbuka

Kebetulan saya menunggang jentera ini ke beberapa majlis rumah terbuka hari raya baru-baru ini. Ternyata tindakan saya itu tepat. Memang pada hari itu hampir semua laluan di Lembah Klang sesak teruk. Tetapi dengan reka bentuk baharu bar hendal menjadikan tunggangan dalam kesesakan lalu lintas masih terasa rileks. Mudah dan lancar mencelah deretan kenderaan.

Berat basah yang hanya 215 kilogram (kg) juga tidak menyukarkan saya untuk mengimbangi jentera ini dalam kelajuan perlahan.

Thumbs up!

Kalau ditanya sama ada Tracer 900 GT ‘lulus’ sebagai sebuah tourer, saya tidak ragu-ragu untuk memberikan thumbs up (cemerlang)! Dengan enjin tiga silinder bersesaran 857 cc, kuasa maksimum 84.6 kilowatt (kW) pada 10,000 rpm sudah cukup berkuasa untuk menempuh perjalanan jauh.

Begitu stabil dalam kelajuan tinggi. Kalau tidak menjeling meter kelajuan, pasti saya tidak tahu yang motosikal ini sudah mencecah 200 kilometer sejam!

Paparan TFT (thin film technology) memudahkan penunggang melihat dengan jelas segala maklumat diperlukan termasuk kelajuan, takometer, paras petrol, jam, indikator gear dan lain-lain lagi. Kawalan tarikan (TC) pula membolehkan penunggang memilih gaya tunggangan mengikut mood dia pada masa itu sama ada agresif atau standard mahupun keadaan permukaan jalan.

Untuk meninggikan atau merendahkan kedudukan perisai angin, cukup sekadar dengan tangan. Semasa sedang menunggang pun boleh melaraskannya dengan mudah.

Selain itu, material pada pemegang hendal membolehkan suhu pada tapak tangan kekal selesa dalam cuaca sejuk pagi atau malam juga hujan. Justeru mengelak tapak tangan daripada kebas semasa perjalanan jauh.

Tangki bahan api berkapasiti 18 liter pula memastikan penunggang tidak ragu-ragu untuk meredah jarak perjalanan jauh sebelum sampai ke lokasi dituju atau stesen minyak seterusnya.

Mampu milik

Dijual pada harga RM58,888, Tracer 900 GT mampu dimiliki oleh mereka yang mengidamkan sebuah motosikal khusus untuk mengembara. Ia didatangkan dalam dua warna pilihan menarik iaitu grey (kelabu) dan matt blue (biru).

Pelengkap

Bagi saya, memiliki Tracer 900 GT mampu memenuhi kehendak penunggang. Tidak kisahlah kalau dia mahu memilikinya untuk mengembara, santai bersama rakan-rakan pada hujung minggu ataupun berulang-alik ke tempat kerja. Tinggi atau rendah biker itupun tiada hal.

TRACER 900 GT

ENJIN

l Jenis: 3-Silinder, Penyejukan cecair, 4-Lejang, DOHC, 4-Injap, 6-Kelajuan

l Sesaran: 847 cc

l Bor x Lejang: 78.0 x 59.1 mm

l Nisbah mampatan: 11.5:1

l Kuasa maksimum: 84.6 kW (115PS) @ 10,000 rpm

l Daya kilas maksimum: 87.5 Nm (8.9 kg-m) @ 8,500 rpm

l Transmisi: Rantai

CASIS

l Sistem ampaian depan: Teleskopik

l Sistem ampaian belakang; Lengan ayun

l Brek depan: Cakera berkembar hidraulik 298 mm

l Brek belakang: Cakera tunggal hidraulik 245 mm

l Tayar depan: 120/170 zr17

l Tayar belakang: 180/55 zr17

DIMENSI

l Panjang: 2,160 mm

l Lebar: 850 mm

l Tinggi: 1,375 mm

l Tinggi tempat duduk: 850 mm

l Jarak roda: 1,500 mm

l Kelegaan lantai: 135 mm

l Berat basah: 215 kg

l Kapasiti tangki bahan api: 18 liter

HARGA

RM58,888