Kajian HLIB Research mengenai impak TPPA terhadap pasaran domestik mendapati, peningkatan akses pasaran menerusi TPPA akan mendorong lebih banyak syarikat asing untuk melabur di Malaysia dan secara tidak langsung memberi kesan rantaian positif termasuk kepada sektor media.

Jelas firma penyelidikan itu, dalam usaha mengembangkan perniagaan dan mempromosi produk masing-masing, syarikat-syarikat asing ini perlu melakukan pengiklanan bagi melariskan jualan produk mereka.

“Syarikat-syarikat media akan menerima manfaat secara tidak langsung daripada TPPA. Dengan pembukaan akses pasaran dan liberalisasi beberapa sektor, lebih banyak syarikat asing akan datang melabur dan mengembangkan perniagaan. Hasilnya, Adex dijangka meningkat,” jelasnya dalam nota kajian di sini hari ini.

Laporan terkini Biro Audit Pengedaran (ABC) me­nunjukkan, akhbar Mingguan Ma­lay­sia berjaya me­ngekalkan kedudukan nombor satu dalam kalangan akhbar ba­hasa Melayu dan Ing­ge­ris selama dua ta­hun berturut-turut.

Mingguan Malaysia men­­juarai pengedaran akh­­bar sejak separuh kedua (Julai - Disember) 2013 hingga se­paruh pertama (Januari - Jun) 2015 dengan edaran se­ba­nyak 340,953 naskhah sehari mengatasi Sunday Star (274,046 naskhah), The Star (272,507 naskhah), Metro Ahad (237,722 naskhah) dan Harian Metro (217,384 naskhah).

Akhbar harian Utusan Malaysia pula mencatatkan penge­daran 162,639 naskhah mengatasi BH Ahad (119,227 naskhah) dan BH (103,303 naskhah).

Penganalisis Maybank IB Research, Yin Shao Yang sebelum ini berkata, Adex industri media merangkumi televisyen, radio, akhbar, majalah, pawagam dan lain-lain pada Oktober lalu berjumlah RM656 juta berbanding RM716.6 juta Oktober 2014 dan RM669.6 juta pada September 2015.