Presidennya, Datuk Soh Thian Lai berkata, buat masa ini, Vietnam adalah negara pengeksport terbesar produk besi dan keluli di rantau ASEAN.

Katanya, TPPA dijangka menjadi platform kepada Perjanjian Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) melibatkan 21 negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Keputusan untuk tidak menyertai perjanjian TPPA akan membawa kesan menjadi lebih ketara jika negara-negara seperti China, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menyertai perjanjian itu pada masa depan.

“Malaysia tidak akan mendapat kelebihan untuk membuat peraturan bagi memastikan kebajikan pelbagai industri di negara ini terbela jika tidak menyertai perjanjian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rundingan TPPA telah berjalan sejak lima tahun lalu melibatkan 12 negara termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.

Sebanyak 12 negara terbabit mewakili 40 peratus ekonomi global dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul berjumlah hampir AS$30 trilion (RM131.55 trilion).

Tambah Thian Lai, perjanjian TPPA akan mempertingkatkan integrasi ekonomi melalui liberalisasi dagangan dan pelaburan serta bakal memberi kelebihan terutama kepada industri besi dan keluli.

“Misif menyokong penuh penyertaan Malaysia dalam perjanjian ini dengan usaha berterusan daripada pihak kementerian untuk berunding mengenai akses pasaran dan peraturan negara asal (ROO).

“Industri di Malaysia memerlukan pasaran luar negara yang lebih besar untuk terus mengembangkan operasi perniagaan dalam usaha terus kekal memberi cabaran pada masa depan,” katanya.