Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana program vendor bumiputera merupakan antara isu bumiputera yang dibincangkan dan dilindungi di bawah perjanjian tersebut.

“Jika ada yang bertanya bagaimana dengan TPPA, perjanjian ini tidak akan menjejaskan penglibatan vendor-vendor bumiputera kerana ia dilindungi,” katanya semasa berucap pada majlis memeterai memorandum persefahaman pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) bumiputera melibatkan dua syarikat induk baharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Kanan Keusahawanan Bumiputera dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Abd. Majid Kutiran; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Sdn. Bhd., Datuk Ir. Abdul Karim Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Uzma Engineering Sdn. Bhd., Datuk Kamarul Redzuan Mohamed.

Penyertaan dua syarikat induk baharu iaitu Serba Dinamik Sdn. Bhd. dan Uzma Engineering Sdn. Bhd. menjadikan keseluruhan syarikat induk bertambah kepada 18 syarikat sekali gus menawarkan lebih banyak peluang perniagaan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Sebanyak 12 negara termasuk Malaysia, menandatangani TPPA di Auckland, New Zealand selepas rundingan berjalan selama lima tahun dan membabitkan 19 pusingan.

Antara perkara yang menjadi keutamaan kerajaan termasuk kontrak kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan isu-isu bumiputera.

Selain Malaysia, negara yang menandatangani perjanjian itu ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, sebanyak 55,066 syarikat vendor (termasuk vendor di bawah PPV) telah berdaftar di bawah 18 syarikat induk sehingga Disember 2015.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,729 adalah syarikat vendor bumiputera yang mencatat nilai perolehan sehingga Disember 2015 berjumlah RM23.15 bilion.

“Vendor bukan bumiputera pula berjumlah 37,337 dengan nilai perolehan mencecah RM30.95 bilion sehingga Disember 2015,” katanya.